Seludup ganja dijangka aktif

Seludup ganja dijangka aktif

KERATAN akhbar Utusan Malaysia 10 Jun 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Aktiviti penyeludupan di sempadan negara dijangka meningkat berikutan langkah kerajaan Thailand membenarkan rakyatnya menanam pokok ganja di rumah.

Justeru, langkah penguatkuasaan di pintu sempadan negara perlu dipertingkat bagi mengekang penyeludupan ganja selain mengelak kewujudan lebih banyak tokan-tokan dadah di negara ini apabila mudah mendapatkan bekalan di negara jiran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Kajian Strategik dan Keselamatan Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Mohd. Mizan Aslam berkata, semua agensi keselamatan sempadan perlu segera digerakkan secara lebih tuntas bagi membanteras isu penyeludupan ganja.

Selain itu,katanya, pihak berkuasa perlu memantau produk hiliran lain agar aktiviti berkenaan tidak mengganggu-gugat keselamatan negara.

“Pihak berkuasa Malaysia dan Thailand perlu melakukan rondaan, pengintipan dan pemantauan secara bersama agar aktiviti penyeludupan ganja dapat dikekang lebih awal sebelum berleluasa di negara ini.

“Selain itu, perlu digunakan teknologi sepenuhnya di sempadan dalam proses imbasan dan lain-lain. Elakkan unsur ‘individu’ yang memungkinkan terdedah kepada isu integriti dan keselamatan diri,” katanya.

Sejak minggu lalu, Thailand membenarkan penduduknya menanam ganja di rumah untuk kegunaan sendiri.

Susulan itu, media negara itu melaporkan, lebih 150,000 orang sudah mendaftar untuk memohon kebenaran menanam ganja melalui Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Thailand.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, keputusan Thailand itu secara langsung turut menimbulkan keghairahan kepada tokan tempatan untuk mendapatkan bekalan dari negara berkenaan.

Susulan itu kata Ayob Khan, polis akan melipatgandakan kawalan di kesemua pintu sempadan Malaysia-Thailand termasuk memantau pergerakan yang mencurigakan membabitkan cubaan penyeludupan ganja.

Difahamkan, pokok ganja mempunyai tempoh matang antara empat hingga sembilan bulan sebelum ia dituai untuk digunakan.

MOHD. MIZAN ASLAM

Sementara itu, Mohd Mizan berkata, kerajaan juga perlu melihat semula keperluan untuk ganja dan hemp ‘dihalalkan’ di negara ini.

Katanya, hal demikian sebagai langkah mengelakkan aktiviti penyeludupan ganja ke Malaysia lebih berleluasa.

“Kita tidak boleh selama-lamanya bersikap ‘bertahan’ kerana langkah yang diambil oleh kerajaan Thailand itu secara tidak langsung menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Maka, jalan keluar perlu dilakukan iaitu dengan mengkaji semula penggunaan ganja untuk tujuan perubatan,” katanya.

Katanya, Malaysia mesti cepat dan mengambil langkah bijak jika tidak mahu masalah penyeludupan, penagihan dan penyalahgunaan ganja menjadi isu serius.

“Jawatan kuasa khas wajar dibentuk segera untuk mengkaji perkara ini dan hasilnya nanti perlu didebatkan di Parlimen sebelum dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya