TUMPAT: Aktiviti penyeludupan atau penyelewengan minyak petrol bersubsidi yang kembali rancak kebelakangan ini menjadi salah satu punca kekurangan bekalan bahan api itu di negeri ini.
Penyeludupan secara individu itu dijalankan dengan membuat pembelian bahan api tersebut dalam kuantiti tertentu di stesen-stesen minyak di sekitar kawasan ini.
Individu itu menggunakan kenderaan persendirian dengan mengubah suai tangki selain menggunakan tong-tong jerikin bagi tujuan mengaut keuntungan lebih besar.
Difahamkan, individu terlibat mampu menjana pendapatan antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan bergantung kepada kekerapan membawa bahan api itu ke pangkalan haram untuk dijual ke negara jiran.
Setiap bulan dianggarkan lebih RM100,000 nilai subsidi yang diperuntukan kerajaan mengalir keluar ke negara jiran melalui aktiviti penyeludupan itu.
Harga petrol di Malaysia bernilai RM2.05 seliter menjadi pilihan utama rakyat negara jiran memandangkan mereka terpaksa membayar sekitar RM5.46 untuk seliter bahan api itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber yang mahu dikenali sebagai Chik, 47, berkata, permintaan tinggi dari negara jiran menarik minatnya untuk menjadikan aktiviti itu sebagai sumber pendapatan utama.
“Awalnya saya buat secara sambilan pada sebelah malam dan hari minggu. Namun selepas melihat hasilnya agak lumayan, saya memilih melakukan secara serius.
“Hasil penyeludupan itu digunakan untuk menyara isteri dan anak-anak selain mengukuhkan kantung kewangan keluarga,” katanya.
Chik memberitahu, penyeludupan adalah pekerjaan warisan yang diibaratkan sebagai isi dengan kuku oleh penduduk di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya, seawal usia 11 tahun dia sudah didedahkan dengan aktiviti tersebut apabila melihat penduduk kampung mengambil upah memunggah beras seludup dari kawasan pangkalan haram ke stor simpanan.
“Kalau tidak petrol, kami bawa tepung dan minyak masak dari negara ini ke seberang sana (Thailand).
“Kerja ini hanya melanggar undang-undang ciptaan manusia sahaja dan bukan tuhan,” ujarnya.
Seorang lagi individu yang hanya mahu dikenali sebagai Ku berkata, sudah lebih 20 tahun dia menjalankan kegiatan itu dan hampir dicekup oleh anggota penguat kuasa namun berjaya meloloskan diri.
“Saya gembira apabila anak-anak tidak berminat mewarisi pekerjaan ini. Mereka memilih bekerja kilang di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang lebih menjamin masa depan,” katanya.
Sebelum ini tular dalam laman sosial mengatakan bekalan bahan api bersubsidi negara sering terputus di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Antara kawasan yang sering mengalami kekurangan bekalan ialah Pengkalan Kubor (Tumpat) dan Rantau Panjang (Pasir Mas). – UTUSAN