PENDANG: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pendang merekodkan peningkatan kes sarang tebuan di daerah ini ekoran perubahan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff, anggotanya menerima lapan panggilan kecemasan berkaitan sarang tebuan daripada penduduk daerah ini minggu lepas.
“Setiap hari ada panggilan kecemasan penduduk kerana bimbang keselamatan mereka sebab ada sarang tebuan di pokok berdekatan atau siling rumah mereka. Malah hari ini ada satu kes.
“Memang sekarang musim tebuan buat sarang kerana faktor cuaca yang tidak menentu serangga ini akan mencari habitat baharu,” katanya di sini hari ini.
Katanya, tebuan mencari tempat yang sesuai sekiranya sarang di sekitar hutan rosak akibat ribut atau hujan lebat.
“APM menasihatkan penduduk jika ternampak sarang tebuan ini di kawasan mereka memaklumkan segera kepada kami untuk tindakan memusnahkannya. Kita nasihatkan agar penduduk tidak mengambil tindakan sendiri kerana dikhuatiri berbahaya.
“Anggota APM mempunyai kepakaran malah memakai sut keselamatan khas ketika memusnahkan sarang tebuan ini,” katanya. – UTUSAN