KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, Datin Seri Rosmah Mansor menarik balik tuntutannya terhadap seutas rantai tangan emas putih bertatahkan berlian bernilai AS$220,500 yang kini disimpan di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM).
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Azamuddin Abd. Aziz yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu pada prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin hari ini.
“Anak guam kami tidak lagi meneruskan tuntutan item itu (rantai tangan emas putih),” kata peguam tersebut.
Dalam prosiding sama, peguam Datuk David Gurupatham yang mewakili syarikat barang kemas Global Royalty Trading SAL dari Lubnan turut mengesahkan Rosmah tidak lagi mahu menuntut rantai tangan itu.
Kata peguam berkenaan, dengan penarikan balik tuntutan tersebut oleh Rosmah, ia telah menjimatkan masa dan kos pihak-pihak dalam kes tersebut.
Selain Rosmah, Global Royalty turut membuat tuntutan terhadap rantai tangan berkenaan.
Barang kemas itu adalah antara pelbagai barangan yang dirampas polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn. Bhd. di Pavilion Residences pada Mei 2018, yang didakwa ada kaitan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sementara itu dalam prosiding sama, peguam Syazwani Mohd. Zawawi yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, pihaknya telah menghantar satu representasi berhubung tuntutan beliau terhadap tujuh utas jam tangan yang dituntut sebelum ini.
Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin mengesahkan sudah menerima dan sedang mengkaji representasi yang dikemukakan Najib selain akan memaklumkan kepada mahkamah jika mempunyai perkembangan terkini.
“Kami juga memohon tarikh meminda notis usul berkaitan pelucuthakan harta iaitu 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 tangan yang disita di Pavilion Residences pada 17 Mei 2018.
“Pihak pendakwaan percaya pindaan notis usul tidak memprejudiskan mana-mana pihak dan dibuat sejajar dengan keperluan undang-undang,” katanya.
Justeru Hakim Muhammad Jamil kemudian menetapkan 26 dan 27 September ini untuk pendengaran seterusnya.
Pada prosiding 25 Mei lalu, Rosmah dan Global Royalty Trading menuntut seutas rantai emas putih bertatahkan berlian bernilai AS$220,500, manakala Najib menuntut tujuh utas jam tangan masing-masing disimpan di bilik kebal BNM.
Pada 25 Julai 2020, Najib dan Rosmah memeriksa 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.
Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44. – UTUSAN