ARAU: Sebanyak 800 ekor ayam yang dijual dengan harga serendah RM5.90 sekilogram ‘licin’ tidak sampai dua jam sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di tapak pasar malam Titi Chai di sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob berkata, selain ayam, 200 kilogram ikan kembung yang dijual pada harga RM10 sekilogram itu turut habis terjual hanya dalam masa sejam setengah.
Katanya, harga asal ayam dan ikan pada jualan tersebut masing-masing RM8.90 dan RM13 sekilogram, namun telah mendapat subsidi tambahan daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
“Selain itu, PJKM kali ke-34 itu turut memberi tumpuan kepada bahan-bahan makanan lain seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Tujuan jualan ini bagi membantu rakyat negeri ini yang kurang berkemampuan membeli barangan keperluan tersebut dengan harga lebih rendah,” katanya ketika ditemui pada program jualan tersebut di sini, semalam.
Sementara itu, Nurulhisham berkata, penduduk di negeri ini yang mempunyai tanah digalakkan terlibat dalam penanaman jagung bijirin.
Katanya, jagung bijirin tersebut dijadikan makanan kepada haiwan ternakan sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan import input pertanian tersebut.
“Penanaman tersebut boleh dibuat pada skala kecil dan mereka boleh bekerjasama dengan Green World Genetic Sdn. Bhd. (GWG) dari segi panduan atau bahan yang diperlukan untuk mengusahakan tanaman berkenaan.
“Bagi siapa yang berminat boleh berjumpa dengan kami dan kami akan hubungkan mereka dengan GWG ini. Insya-Allah, mereka boleh mempelopori tanaman jagung bijirin ini sebagaimana tanaman harumanis.
“Setakat ini, terdapat tiga hingga empat keluarga di kawasan Chuping yang sudah menanam jagung bijirin ini melibatkan kawasan antara satu hingga tiga hektar,” jelasnya. – UTUSAN