Restoran mamak terdesak cari 30,000 pekerja

Restoran mamak terdesak cari 30,000 pekerja

PEKERJA tempatan digalakkan mengisi 30,000 kekosongan peluang pekerjaan di restoran-restoran mamak di seluruh negara. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seiring dengan peningkatan jumlah pelanggan berikutan pemulihan dalam sektor ekonomi negara, restoran-restoran mamak semakin terdesak mendapatkan pekerja dan sejumlah 30,000 kekosongan perlu diisi segera.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, angka terkini itu dilaporkan oleh restoran-restoran di bawah Presma dan mereka sangat menggalakkan penyertaan pekerja tempatan.

“Pelbagai langkah diambil Presma untuk menarik penyertaan pekerja tempatan. Misalnya, kami sudah meletakkan banner yang menawarkan peluang kerja di restoran-restoran kami.

“Namun setakat ini, sambutan yang diterima tidak menggalakkan. Maka, untuk memastikan kelancaran operasi restoran, kami terpaksa beralih kepada pekerja asing,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jawahar Ali Taib Khan

Jawahar Ali berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama beberapa kementerian bagi membantu dalam soal memenuhi sektor kekosongan kerja dalam kalangan restoran-restoran mamak seluruh negara.

“Alhamdulillah, kerajaan mendengar keluhan kami. Mereka banyak membantu memudah cara melalui pelbagai sesi libat urus dengan pemain-pemain industri,” katanya.

Katanya, Presma sudah mengambil langkah permohonan pekerja asing susulan tiada sambutan dari kalangan warga tempatan yang berminat bekerja di restoran mamak.

“Untuk memohon pekerja asing, ia bukan boleh mohon begitu sahaja. Kita kena iklankan dulu dalam portal mencari pekerjaan untuk mempelawa rakyat tempatan. Ini usaha kita untuk menggalakkan penyertaan warga tempatan.

“Apabila sudah sebulan tempoh iklan itu dan masih tiada sambutan, baru kita layak dipertimbang untuk membawa masuk pekerja asing. Kemasukan pekerja asing ini bukan boleh main lambak begitu saja, ada prosedurnya.

“Apapun, kami sangat mengalu-alukan penyertaan warga kita, sebab ini akan memakmurkan ekonomi tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya