Reformasi Parlimen dipersetujui kerajaan - Utusan Malaysia

Reformasi Parlimen dipersetujui kerajaan

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri setuju dengan satu cadangan reformasi Parlimen yang merangkumi tiga perkara penting melibatkan Parlimen dan Ahli Parlimen, Rabu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiga perkara itu adalah penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) dan draf Kod Etika Ahli-ahli Parlimen.

“Pada Ogos 2021, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) telah mengadakan perbincangan dengan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, maka telah dipersetujui untuk kerajaan menggubal suatu Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen bagi merealisasikan hasrat pengasingan kuasa di antara Badan Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman.

“Penggubalan akta ini juga mengambil kira penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang merupakan sebahagian daripada pengurusan Parlimen yang mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen. Beberapa perkara yang akan diteliti termasuklah cadangan mewujudkan Skim Perkhidmatan Parlimen serta sumber kewangan dan bajet tahunan yang diperoleh Parlimen daripada Kumpulan Wang Disatukan (Consiladated Fund) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Parlimen sendiri selaras dengan prinsip pengasingan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 telah dimansuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 (Akta A837) yang berkuat kuasa pada 20 November 1993, bagi memenuhi keperluan ketika itu untuk membuka perkhidmatan Parlimen yang tertutup kepada perkhidmatan awam Persekutuan.

Katanya, pindaan ke atas Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) dilihat penting supaya akta tersebut lebih relevan dan memberi impak yang sesuai dengan keadaan semasa.

“Akta tersebut telah digubal pada 1952 sebagai House of Parliament (Privileges and Powers) Ordinance 1952 dan dipinda pada 1953 sebelum dikuatkuasakan tahun tersebut. Pada 1988 satu semakan dibuat untuk menukar Ordinan tersebut menjadi Akta 347 sekarang ini. Selain daripada itu tidak ada pindaan pernah dibuat semenjak 1953,” katanya.

Beliau berkata, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) merupakan akta berhubungan dengan kuasa dan keistimewaan Majlis Parlimen, kebebasan bercakap dan berbahas dalam prosiding majlis itu dan perlindungan kepada orang yang diambil khidmat dalam penyiaran kertas-kertas majlis tersebut.

Katanya, pindaan kepada Akta Majlis Parlimen akan mengandungi peruntukan larangan kepada ahli-ahli Parlimen yang telah dituduh di mahkamah digantung daripada menghadiri aktiviti majlis dan ini masih diperhalusi untuk menyesuaikan dengan perkembangan dan peraturan Dewan Rakyat sedia ada.

“Akta ini belum pernah dipinda sejak ia digubal bagi menyesuaikan dengan persekitaran dan keadaan semasa, oleh itu, akta ini perlu dikaji semula dan dipinda. Satu Kod Etika Ahli Parlimen juga dicadangkan disediakan, yang berbeza daripada apa yang diperuntukan dalam Peraturan-Peraturan Majlis Parlimen. Kod Etika Ahli Parlimen tersebut akan menggariskan tatatertib yang lebih terperinci kepada sikap ahli-ahli Parlimen semasa di dalam dan di luar dewan sebagaimana yang dilaksanakan di beberapa negara lain,” katanya.

Tambahnya, kod etika yang dicadangkan itu adalah satu draf kod etika yang digubal pada 2011 semasa beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal untuk menggubal kod etika ahli-ahli Parlimen di bawah Jawatankuasa Pembaharuan yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Tun Razak pada ketika itu dan pelaksanaan kod etika terbabit tidak diambil kira sejak itu.

Katanya, cadangan untuk memperkenalkan kod etika ini adalah selaras dengan apa yang dilaksanakan di negara lain termasuk India dan New Zealand.

“Lanjutan daripada keputusan Jemaah Menteri ini, saya telah memohon Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk mengadakan persidangan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh mereka supaya memutuskan rangka kerja serta libat urus menteri dengan semua pemegang taruh berhubung dengan undang-undang ini. Selain itu, ia juga bagi membincangkan cadangan takwim, garis masa dan tindakan lanjut yang akan dilaksanakan oleh Parlimen Malaysia serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Wan Junaidi berkata, kedua-dua perkara ini juga merupakan perkara-perkara dalam agenda pembaharuan Parlimen yang dipersetujui menerusi Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang termaktub dan telah dimeterai pada 13 September tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN