TEMERLOH: Kira-kira 500 penduduk Kampung Mambang Berulang, Mentakab di sini bagaikan ‘jatuh ditimpa tangga’ apabila bekalan air bersih di kampung berkenaan terputus sejak seminggu lalu.
Bagi mendapat bekalan air bersih atau membeli air mineral, penduduk perlu melalui jalan kecil berliku sepanjang 15 kilometer atau 30 minit perjalanan.
Ini kerana jambatan gantung yang merupakan laluan utama penduduk merentasi Sungai Semantan rosak teruk dan tidak boleh digunakan ekoran banjir besar, Disember tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk Shamsul Kamal Salleh, 59, berkata, masalah bekalan air ibarat mimpi buruk buat penduduk di kampung itu kerana ia kerap berlaku, empat atau lima kali setahun.
“Kejadian terbaru berlaku pada Jumaat minggu lalu menyebabkan bekalan air di rumah penduduk kering kontang. Sungguh menyiksakan terutama suri rumah untuk urusan rumah tangga.
“Aduan telah dimajukan kepada pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) tetapi hanya sekali sebuah lori tangki di hantar untuk kegunaan penduduk seramai itu,” katanya di sini semalam.
Shamsul Kamal berkata, penduduk tidak tahan lagi ‘dugaan berat’ ketiadaan air untuk kegunaan harian apatah lagi rungutan seolah-olah dipandang sepi.
Tambahnya, lokasi kampung ini kira-kira dua kilometer dari Bandar Mentakab dan hanya dipisahkan oleh Sungai Semantan sejak zaman berzaman.
Seorang lagi penduduk, Baharuddin Daud, 60, merayu jambatan gantung rosak di situ segera dibaiki kerana ia laluan utama ke Mentakab dan Temerloh.
“Walaupun kerajaan janji baiki atau menggantikan dengan jambatan konkrit yang memerlukan kos RM3 juta ke RM4 juta sebuah, tetapi sehingga ini tiada hujung pangkalnya,” katanya.
Menurutnya, akibat kerosakan laluan utama itu, penduduk perlu mengambil masa 30 minit keluar melalui jalan alternatif lain untuk mendapatkan bekalan air bersih berbanding lima minit jika menggunakan jambatan tersebut.
Oleh itu beliau merayu pihak berwajib segera mengatasi masalah penduduk yang semakin tertekan ketiadaan air. – UTUSAN