LIPIS: Beberapa pekebun kawasan projek tanaman berkelompok kerugian apabila ratusan buah durian muda dan hampir masak musnah angkara kawanan kera dan beruk di Kampung Kuala Medang, dekat sini hari ini.
Kawanan haiwan liar daripada kawasan hutan berdekatan menceroboh kebun durian itu bermula pagi memenuhi dahan pokok dan ‘memulas’ tangkai buah durian yang belum matang atau masak dan membiarkan gugur bersepah di tanah.
Walaupun dihalau pemilik kebun, haiwan liar berkenaan tidak takut malah semakin lebih berani merosakkan ‘raja buah’ itu yang sedang lebat di dahan.
Salah seorang pemilik kebun durian, Mohamad Mohtar Mat, 63, berkata, kejadian itu kerap dihadapi setiap kali musim buah apabila lebih 100 ekor kera dan beruk berkeliaran dan mula memanjat pokok serta merosakkan buah muda dan juga yang hampir masak di kebun itu.
“Pagi ini, sebaik tiba di kebun yang terletak lima kilometer dengan rumah, saya terkejut apabila mendapati lebih 100 biji durian muda sebesar betis bersepah di bawah pokok.
“Ketika mendongak ke atas, saya mendapati kawanan kera dan beruk masih berani bertenggek di dahan, manakala yang lain lari masuk ke hutan apabila melihat kehadiran manusia,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohamad Mohtar, sebanyak 32 batang pokok durian kampung ditanam di kawasan seluas 0.8 hektar sejak 30 tahun lalu telah mengeluarkan hasil sebelum ini dan dijual dengan harga antara RM6 hingga RM8 sekilogram.
Katanya, mengikut perkiraannya, dia sudah mengalami kerugian hampir RM5,000 apabila setiap hari anggaran kira-kira 100 biji buah muda itu dan hampir masak dirosakkan haiwan liar itu.
“Saya berharap pihak berwajib datang memantau pergerakan beruk dan kera di samping tindakan menghalang pencerobohan di kebun ini sekurang-kurangnya baki buah yang ada di dahan dapat diselamatkan sehingga gugur dalam jangkaan bulan Julai ini,” katanya.
Mengeluh perkara sama, rakannya, Abu Kassim Ismail, 65, menambah, sekiranya kawanan kera dan beruk ini masih menceroboh tanpa usaha menghalau atau mencegah bermakna pekebun di situ gagal meraih sebarang hasil.
“Dahulu kami tidak berdepan gangguan kera dan beruk, tetapi sejak lima tahun lalu keadaan berubah apabila haiwan liar telah menceroboh ketika musim buah malahan semakin menjadi-jadi pula tahun ini.
“Saya tidak tahu bagaimana lagi hendak bertindak. Kita sudah halau tetapi binatang ini akan datang semula, malahan pada masa sama pemilik kebun di sini bimbang diserang haiwan liar ini,” katanya.
Menurut Abu Kassim, sebagai warga emas yang tidak punca pendapatan lain, dia dan pekebun di situ juga cuma ingin menikmati hasil jualan durian yang dijangka gugur pada penghujung bulan Julai ini. – UTUSAN