KEPALA BATAS: Sebuah pusat belia baharu yang dianggarkan bernilai RM45 juta dibangunkan di kawasan Paya Keladi, dekat sini tidak lama lagi.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pusat berkeluasan lebih 10 hektar itu lengkap dengan segala fasiliti untuk kemudahan penduduk setempat beriadah dan lain-lain.
“Pusat itu mempunyai sebuah mini stadium moden yang dilengkapi lampu limpah, padang sintetik dan ada trek. Kemudian, ada padang biasa pula untuk latihan balapan dan arena tertutup untuk sukan-sukan seperti bola keranjang serta badminton.
“Selain itu, ciri terpentingnya ialah ada ‘e-sport’ arena (arena sukan elektronik) yang mempunyai fasiliti bertaraf antarabangsa. Maknanya, jika ada sebarang kejohanan di Pulau Pinang ini di peringkat antarabangsa, maka ia boleh dianjurkan di pusat belia ini,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Santai Anak Muda dan merasmikan Esport Youth Cabin berhampiran Wisma UMNO Kepala Batas di sini, malam tadi.
Beliau berkata, sebuah penginapan atau asrama bercirikan kabin yang dilengkapi dengan kafe ‘hipster’ juga akan dibangunkan di pusat belia itu. – UTUSAN