JOHOR BAHRU : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta tidak lagi mengeluarkan alasan atau berdolak-dalik tentang tindakannya untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman Pulau Batu Puteh.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, Tun Mahathir juga mendakwa kehilangan Pulau Batu Puteh adalah kesilapan Kerajaan Johor menafikan bahawa pulau itu adalah milik Johor.
Katanya, bekas Perdana Menteri itu turut mendakwa sekiranya penafian itu tidak dibuat pada ketika itu, tidak akan ada pertikaian yang berlaku sekarang ini.
“Jika benar Kerajaan Johor sebelum ini membuat penafian berkenaan status pulau itu, adakah satu ‘dosa besar’ Kerajaan Johor atau Persekutuan hari ini membuat tuntutan dan semakan jika ada dokumen atau bukti sokongan yang boleh diguna pakai atau mencabar keputusan sebelum ini?
“Pergerakan Pemuda UMNO Johor tetap dengan pendirian dan menjunjung titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahukan semakan dan pentafsiran penghakiman perlu diteruskan demi mendapatkan semula kedaulatan Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahad lalu, Dr. Mahathir dilaporkan berkata dalam satu kongres mencadangkan supaya Malaysia menuntut semula Riau dan Singapura kerana berdasarkan sejarah, ia adalah ‘Tanah Melayu’.
Semalam, Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah dilaporkan menyangkal dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai tidak mempunyai asas undang-undang serta Kepulauan Riau diiktiraf sebagai wilayah Indonesia di peringkat antarabangsa.
Baru-baru ini Dr. Mahathir dalam satu kenyataan di Facebooknya menafikan apa yang beliau sebut dalam satu kongres pada Ahad lalu berkaitan tuntutan terhadap Singapura dan Kepulauan Riau.
Mengulas lanjut, Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin menempelak Ahli Parlimen Langkawi itu yang tidak memahami makna dan signifikan tuntutan sebidang tanah dengan kedaulatan sesebuah negara.
“Walaupun beliau beranggapan Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca hanya sebesar meja, tetapi Pemuda UMNO Johor berpendirian, itu adalah lambang kedaulatan dan amat malang jika tiada usaha untuk memperjuang atau menuntutnya,” katanya.
Bulan lalu, Sultan Johor berkenan menerima laporan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan Kerajaan Persekutuan bagi menyemak isu-isu dan tindakan perundangan berhubung kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mempersembahkan laporan berkenaan.
Pada 29 Oktober lalu, Kabinet telah bersetuju untuk membentuk Pasukan Petugas Khas berkenaan ekoran keputusan Kerajaan Persekutuan ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018.
Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah bahawa keputusan sedemikian seolah-olah mengaku kalah sebelum memasuki gelanggang di mahkamah berkenaan, walaupun ada pertemuan bukti baharu yang memihak kepada Malaysia.- UTUSAN