KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) PTPTN 2022-2024 hari ini.
PTPTN dalam satu kenyataan berkata, pelan itu merupakan dokumen dasar antirasuah utama di peringkat organisasi sebagai bukti kesungguhan dan komitmen dalam memberikan perkhidmatan telus dan berkualiti.
Pelan itu menggariskan tiga bidang utama, lima objektif dan 12 pelan tindakan secara keseluruhan manakala setiap pelan tindakan ditetapkan mengambil kira keperluan kepada pemantapan integriti, pengukuhan pentadbiran dan pemerkasaan pencegahan rasuah.
“Bagi menjayaan pelaksanaannya, aspek pemantau dan penilaian akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan OACP PTPTN bagi mengatasi prestasi pelaksanaannya sehingga tahun 2024.
“Usaha penambahbaikan dalam pengurusan sumber manusia, pentadbiran, kewangan, penggunaan sistem teknologi menyeluruh, pemantauan dan pemantapan proses kerja akan terus diberi perhatian serius,” katanya.
OACP PTPTN dilancarkan selaras dengan inisiatif Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 di bawah strategi kedua iaitu memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan dengan mewajibkan sektor awam untuk membangunkan pelan antirasuah di peringkat organisasi masing-masing.
Visi telah ditetapkan iaitu Menjadi Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Negara Yang Berintegriti dan Bebas Rasuah.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, PTPTN sentiasa komited mendukung aspirasi kerajaan mewujudkan persekitaran yang bersih dan bebas dari gejala rasuah dan salah guna kuasa yang boleh menjejaskan imej berorganisasi.
“OACP PTPTN bakal menjadi panduan kepada seluruh warga PTPTN bagi mendukung aspirasi nasional dalam usaha pemantapan pentadbiran, integriti dan antirasuah,” katanya. – UTUSAN