PRU15: Pendirian PM strategik, patuh Perlembagaan

PRU15: Pendirian PM strategik, patuh Perlembagaan

KAMARUL ZAMAN YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil pendirian strategik dan mementingkan syura dengan organisasi dalam menentukan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, ini termasuk mematuhi Perlembagaan Persekutuan yang akur kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam soal pembubaran Parlimen.

Beliau berkata, dari sudut strategi, adalah lumrah untuk mana-mana Perdana Menteri membiarkan semua pihak berteka-teki mengenai bila mereka akan memanggil pilihan raya.

“Dari sudut organisasi, Perdana Menteri tidak akan membuat keputusan secara bersendirian tetapi akan berbincang mengenainya di dalam parti dan Kabinet.

“Dari sudut Perlembagaan, Perdana Menteri akan akur kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mendahului Baginda dalam soal pembubaran Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyelar Perdana Menteri kerana kononnya bersikap ‘flip-flop’ dalam soal bila beliau akan memanggil pilihan raya. 

Anthony Loke dilihat cuba ‘mengajar’ Perdana Menteri supaya konsisten dan tegas dalam pendiriannya kerana sikap flip-flop dikatakan akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berlanjutan dan akan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara.

Bagaimanapun, Ismail Sabri ketika ditanya mengenai kenyataan Anthony Loke itu, Perdana Menteri tegas membidas pemimpin DAP itu bahawa beliau tidak mempunyai kuasa menetapkan tarikh PRU15, sebaliknya terletak kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong. 

Kata Perdana Menteri, adalah salah dari segi Perlembagaan jika beliau menetapkan tarikh PRU kerana kuasa penentu adalah daripada Yang di-Pertuan Agong dan Jemaah Menteri akan berikan mandat kepada beliau untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Seri Paduka Baginda.

Kamarul berkata, bidasan Perdana Menteri itu adalah bukti jelas walaupun kerajaan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan DAP, tetapi Perdana Menteri adalah pemimpin yang mempunyai jati diri dan tegas apabila berhadapan dengan pemimpin parti itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya