PRU-15: 'Hanya 'desakan politik', tunggulah beberapa bulan lagi' - KJ - Utusan Malaysia

PRU-15: ‘Hanya ‘desakan politik’, tunggulah beberapa bulan lagi’ – KJ

KHAIRY Jamaluddin bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Jelajah ANMS Peringkat Negeri di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat disifatkan hanya sebagai ‘desakan politik’ semata-mata, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, negara kini masih berada pada fasa peralihan endemik, belum memasuki fasa endemik untuk membenarkan aktiviti tanpa kawalan kesihatan, termasuklah ceramah besar-besaran.

Jelasnya, sehingga kini Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih dikuatkuasakan dan pelaksanaan PRU-15 dalam masa terdekat hanyalah desakan ahli politik yang tidak memikirkan soal kesihatan rakyat.

“Saya sebagai Menteri Kesihatan masih mengisytiharkan Malaysia sebagai kawasan pandemik Covid-19 dan dalam fasa peralihan endemik, maksudnya kita masih lagi adakan beberapa sekatan seperti memakai pelitup muka.

“Kalau nak jaga kesihatan awam, kita tunggu beberapa bulan lagi hingga ke fasa endemik dan saya lebih selesa (PRU-15 diadakan) sebagai Menteri Kesihatan pada waktu itu, lagipun tiada desakan daripada rakyat, sebaliknya lebih kepada ahli politik,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri di Banda Hilir di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dikeluarkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang konsisten mendesak pelaksanaan PRU-15 dengan alasan mandat rakyat harus dikembalikan.

Antara hujah dikemukakannya adalah pandemik Covid-19 secara rasmi berakhir pada 1 Mei 2022 apabila kerajaan mengumumkan negara memasuki fasa endemik dan rakyat sudah mencapai imunisasi berkelompok.

Jelas Khairy, fasa peralihan endemik merupakan tempoh kritikal untuk memastikan tiada sebarang gelombang serius tercetus sebelum negara memasuki fasa endemik.

Katanya, hujah yang dilontarkan Asyraf Wajdi itu juga secara terang-terangan salah dan tidak berasas.

“Asyraf Wajdi sahabat saya, tetapi fakta kenalah betul, dia sebut pandemik dah tamat di Malaysia itu tak betul, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan umumkan nanti bahawa Covid-19 ini bukanlah sesuatu health emergency of international concern.

“Masa itu kita juga akan buat pengumuman bahawa tidak lagi menggunakan Akta 342, kini kita masih lapor kes harian Covid-19 kerana gelombang masih datang dan pergi, jadi kita masih lagi bersikap berhati-hati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya