Presiden PKBM berdepan dua pertuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Presiden PKBM berdepan dua pertuduhan rasuah

ABU SAMAH Abd. Wahab diarah membayar ikat jamin RM10,000 serta pasport diserahkan kepada mahkamah selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mendapatkan suapan bernilai RM48,811.85. 

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai badan awam iaitu Presiden PKBM didakwa  menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan apabila memilih syarikat milik anaknya iaitu Syarikat Harapan Baiduri Sdn. Bhd. untuk menyediakan sewaan kenderaan logistik dengan harga keseluruhan RM12,750.

Suapan dilakukan melalui 13 baucar bayaran mulai 2013 sehingga 2018. 

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perkara sama membabitkan syarikat milik adik-beradiknya, Syarikat Keluarga Haji Wahab Hassan Sdn. Bhd. untuk membuat sewaan rumah inap desa bagi kegunaan atlet berbasikal dengan harga keseluruhan RM36,061.85. 

Bayaran itu dilakukan melalui 32 baucar bayaran mulai 2013 sehingga 2018.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pejabat PKBM dalam daerah Melaka Tengah antara 2013 sehingga 2019. 

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dan memohon agar passport tertuduh diserahkan kepada mahkamah. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan rendah sebanyak RM5,000 diberikan dengan alasan dia telahpun berusia 81 tahun dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sejak dua tahun lalu. 

Dia juga merayu agar pasportnya tidak diserahkan kepada mahkamah kerana sering ke luar negara atas urusan rasmi persekutuan. 

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 14 Julai depan. 

Nariman turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan sekiranya dokumen itu diperlukan, permohonan boleh dilakukan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya