Polis berjaya selesai kes tetak Pengarah Lembaga Wakaf Hindu di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Polis berjaya selesai kes tetak Pengarah Lembaga Wakaf Hindu di Pulau Pinang

MOHD. Shuhaily Mohd. Zain menunjukkan gambar seorang suspek yang masih diburu berkait kes serangan ke atas M. Ramachandran dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis percaya berjaya menyelesaikan kes serangan ke atas Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP), Datuk M. Ramachandran dengan tertangkapnya dua suspek utama kejadian itu pada 26 Mei lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 48 tahun itu ditahan di sebuah hotel di sini dalam serbuan kira-kira pukul 2.15 pagi.

Dalam masa sama jelas beliau, polis juga masih mengesan seorang lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kes itu iaitu S. S. Dinish berusia 22 tahun yang beralamat terakhir di Semenyih, Selangor untuk melengkapkan siasatan.

“Ingin saya tegaskan di sini pihak polis tidak pernah menutup siasatan kes ini dan kes ini menjadi sensitif apabila beberapa kali cuba dimainkan pihak tertentu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Mohd. Shuhaily, sepanjang siasatan kes itu juga, pihaknya telah melancarkan beberapa serbuan dan menahan seramai 18 suspek iaitu 16 lelaki dan dua wanita berusia antara 22 hingga 53 tahun.

Jelas beliau, kesemua tangkapan itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk dadah.

“Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ramachandran, 70, parah ditetak sekumpulan individu dalam satu kejadian di hadapan kediamannya di Taman Alma, Machang Bubok dekat sini pada Julai tahun lalu.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian leher, paha, belakang kepala serta badan akibat diserang dengan senjata tajam.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa sedang turun dari kereta untuk masuk ke dalam rumahnya sebelum diserang oleh empat orang lelaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya