Pihak desak segerakan PRU15 pentingkan diri - Abdul Hadi - Utusan Malaysia

Pihak desak segerakan PRU15 pentingkan diri – Abdul Hadi

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pas menyindir pihak-pihak yang mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan secara tergesa-gesa dalam tempoh inflasi sebagai golongan yang mementingkan diri.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berharap kerajaan tidak tunduk dengan desakan berkenaan, sebaliknya menumpukan fokus kepada kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi.

Katanya, sekarang bukan masa yang sesuai untuk membubarkan Parlimen ketika seluruh dunia masih bergelut dengan isu ketidaktentuan ekonomi di samping Covid-19.

“Pas bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk PRU, tetapi kita mengambil kira rakyat dan mahu kesusahan mereka diselesaikan dahulu.

“Kita tidak bergantung kepada desakan orang kerana golongan itu hanya mahu berkuasa, Pas bukan begitu kerana kita turut mengutamakan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan berbincang tarikh PRU15 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

Ahmad Zahid turut menyatakan perjumpaan antara Ismail Sabri bersama ‘lima teratas’ bagi menentukan pembubaran Parlimen akan berlaku bila-bila masa sahaja.

Sementara itu, Abdul Hadi menolak dakwaan kononnya Pas takut kehilangan kuasa jika PRU15 diadakan secara tergesa-gesa.

Tegasnya, jentera Pas sudah bersiap-siaga untuk berjuang sama ada tarikh PRU cepat atau lambat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN