Peserta cilik 'pukau' Liga Memanah Berkuda

Peserta cilik ‘pukau’ Liga Memanah Berkuda

AKSI Muhd. Aqib Indra Shahril menunggang kuda sambil memanah menjadi tumpuan dalam LMB 2022 di Cape Cavallho, Rembau, Negeri Sembilan. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Bertubuh kecil dengan usia yang mentah bukanlah penghalang bagi peserta cilik beraksi memanah sambil menunggang kuda.

Malah, aksi bersahaja ketika melepaskan anak panah menjadi tarikan peserta dan hadirin dalam Liga Memanah Berkuda (LMB) 2022, di Cape Cavallho, di sini yang tamat kelmarin.

Muhd. Aqib Indra Shahril, 11, berkata, biarpun pernah beberapa kali terjatuh ketika menunggang kuda, dia tidak pernah serik meneruskan minatnya dalam sukan itu yang diceburi sejak berusia sembilan tahun.

“Saya minat dalam sukan ini selepas mendapat dorongan daripada bapa sejak tiga tahun lalu. Mula-mula ayah hanya mahu membawa saya ke sebuah kandang kuda di Batu Kurau milik rakannya untuk melawat.

“Lama kelamaan, timbul minat dan akhirnya terus jatuh cinta dengan sukan sunnah Rasulullah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Lebih 60 peserta terlibat dalam pertandingan LMB 2022 yang diadakan bagi mencari bakat baharu dan wakil Malaysia ke pertandingan memanah berkuda di Korea Selatan.

Dalam pada itu, Muhd. Aqib berkata, sukan itu menanam sikap sabar dan fokus dalam melakukan satu-satu perkara di samping mengelakkan diri daripada ketagihan permainan video.

Dia turut berharap lebih ramai rakannya dapat menceburi sukan itu pada masa akan datang.

“Mulakan dengan belajar dan memahirkan diri mengawal kuda seterusnya memanah. Paling penting berani dan lawan perasaan takut yang timbul dalam diri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya