PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan kira-kira RM200,000 bagi kajian penyediaan Pelan Induk Pembangunan Ekopelancongan Santuari Buaya Tembaga di Sungai Linggi di sini yang dilihat mampu membangunkan ekonomi masyarakat setempat.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peruntukan melalui Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Jabatan Perhilitan itu secara tidak langsung merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini terutama tarikan Sungai Linggi sebagai habitat buaya tembaga.
“Kajian yang dijalankan mendapati terdapat populasi buaya tembaga yang menjadikan Sungai Linggi sebagai habitat reptilia ini. Hasil kajian di kawasan Sungai Linggi ini merekodkan cerapan buaya tembaga atau nama saintifiknya ‘Crocodylus Porosus’ yang tinggi iaitu sebanyak 164 cerapan pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyelusuri Sungai Linggi sempena Lawatan Teknikal Pelan Induk Pembangunan Ekopelancongan Bagi Projek Santuari Buaya Tembaga di sungai tersebut di sini hari ini.
Menurut Aminuddin, anggaran saiz terbesar buaya tembaga di Sungai Linggi adalah berukuran lima meter manakala saiz terkecil ialah kurang daripada satu meter.
“Kawasan ini juga mempunyai kepelbagaian spesies yang menarik antaranya keluang, tuntung sungai, kucing hutan, kera, biawak, burung botak padi, memerang licin, burung lang merah, burung hantu kuning dan musang pulut.
“Selain itu, kawasan ini turut menjalankan pengayaan spesies dengan pelepasan anak udang galah oleh Jabatan Perikanan,” katanya.
Jelas beliau, konservasi spesies buaya tembaga di negara ini boleh dijalankan secara komprehensif bagi memastikan hidupan itu dapat menyumbang di dalam ekosistem semula jadi sungai.
“Ini seterusnya dapat memastikan spesies buaya tembaga tidak terus diancam kepupusan akibat kehilangan habitat dan terjamin kelestarian genetik seiring dengan dasar kepelbagaian biologi kebangsaan. Rata-rata penduduk dan pengunjung di kawasan ini mengetahui kewujudan buaya tembaga dan tidak berasa terancam dengan kehadirannya,” katanya.
Beliau berkata, situasi itu menjadikan buaya tembaga di Sungai Linggi mudah untuk dihampiri, tidak terancam dengan bunyi bot dan yang paling penting tiada aduan serangan spesies itu diterima oleh Jabatan Perhilitan. – UTUSAN