Persekutuan jangan cabuli kuasa negeri - Sultan Ibrahim - Utusan Malaysia

Persekutuan jangan cabuli kuasa negeri – Sultan Ibrahim

SULTAN Ibrahim berkenan merasmikan sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya menghormati perjanjian yang termaktub dengan kerajaan negeri dalam penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan tidak mencabulinya dengan sesuka hati.

Sultan Ibrahim menzahirkan perasaan kecewa dengan beberapa tindakan Kerajaan Persekutuan yang dilihat seolah-olah menganaktirikan Johor dalam beberapa keputusan yang dibuat.

“Semua pihak mesti ingat kuasa negeri yang termaktub dalam perjanjian Tanah Melayu, jangan buat keputusan sesuka hati. Saya kecewa dengan keputusan Persekutuan membatalkan rayuan tuntutan Batu Puteh pada 2018.

“Perdana Menteri ketika itu telah membuat keputusan sendiri dengan mengarahkan Peguam Negara cuti berehat pada ketika Kabinet belum dibentuk, Johor juga langsung tidak dirujuk sedangkan keputusan itu melibatkan tanah dan kedaulatan Johor. Oleh itu, saya mahu kerajaan ambil tindakan tegas terhadap pihak yang langgar kuasa negeri.

“Malah, sekiranya kuasa negeri telah dicabuli, maka perjanjian Persekutuan itu boleh dianggap terbatal dengan sendirinya dan Johor bukan lagi sebahagian daripada Persekutuan,” titah baginda ketika merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa sedih dengan tindakan Kerajaan Persekutuan yang tidak menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap infrastruktur awam di negeri ini.

“Saya rasa sedih dengan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti HSA (Hospital Sultanah Aminah), HSI (Hospital Sultan Ismail), Kompleks CIQ di BSI (Bangunan Sultan Iskandar) dan juga kemudahan UTC (Pusat Transformasi Bandar) yang perlu dipertingkatkan dengan sistem penyampaian lebih cekap dan selesa.

“Saya seru Kerajaan Persekutuan agar segera tunai janji naik taraf Lebuhraya Utara-Selatan kepada enam lorong dan Lebuhraya Senai-Desaru kepada empat lorong, juga jalan Persekutuan yang rosak dan berlubang. Saya rasa seolah-olah Johor dianaktirikan walhal Johor adalah penyumbang utama ekonomi negara.

“Jangan sampai rakyat Johor desak untuk keluar dari Malaysia, mungkin Johor lebih maju jika berdiri atas kaki sendiri,” tegas baginda.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan kerajaan negeri Johor supaya berani melakukan perubahan demi kepentingan rakyatnya.

“Saya tegaskan bahawa Johor tidak akan lagi beri hak milik tanah kepada Persekutuan, tetapi sebaliknya mana-mana projek Persekutuan hanya akan diberi tanah rizab,” jelasnya.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan bahawa had umur minimum kelayakan untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor kekal pada usia 21 tahun dan bukannya 18 tahun.

“Ini kerana pindaan enakmen yang lalu saya belum beri persetujuan. Pada hemat saya, cadangan turunkan had umur minimum tersebut adalah tidak selari dengan hala tuju kerajaan yang mahukan pemimpin berkualiti tinggi dan cukup ilmu pengetahuan.

“Namun begitu, saya tetap sokong hak mengundi diberi kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas, tetapi untuk menjadi Ahli Dewan saya rasakan tidak sesuai,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya