RAUB: Kesedaran masyarakat terhadap nilai sesebuah seni yang masih berkurangan mendorong seorang penggiat seni mewujudkan pelancongan berkonsepkan kesenian.
Usaha Mohamad Ismadi Sallehudin, 50, mula membuahkan hasil apabila lokasi pelancongan dikenali Art Garden Madi di Kampung Ulu Dong di sini mula mendapat perhatian generasi muda kampung itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohamad Ismadi berkata, usaha itu dilakukan sejak 10 tahun lalu apabila dia mengambil keputusan pulang berkhidmat di kampung halaman setelah sekian lama merantau di negeri orang.
Katanya, Art Garden Madi mula dikenali sebagai lokasi pelancongan berkonsepkan kesenian yang diketengahkan sebagai produk seni dan pelancongan di negeri ini.
“Saya sanggup mengeluarkan dana sendiri dengan dibantu Balai Seni Negara untuk menerapkan minat masyarakat kita terhadap kesenian terutama seni lukis yang dilihat kurang mendapat sambutan.
“Beberapa siri program telah dan akan dianjurkan dan akan ada satu lagi program dinamakan ‘Aku Ada’ dijalankan di sini tidak lama lagi,” katanya di sini semalam.
Mohamad Ismadi berkata, Art Garden Madi kini menjadi tumpuan tidak hanya penduduk setempat dalam negara, malah juga pelancong dari luar negara yang datang untuk mendalami kesenian sambil menikmati persekitaran alam yang masih dikekalkan flora dan faunanya.
“Saya telah mula menerima kedatangan pelancong terutama dari Eropah yang datang tidak hanya untuk menetap dan mencari ketenangan di sini, malah hendak mempelajari pelbagai seni,” katanya.
Menurut Mohamad Ismadi, pelancong yang datang tidak hanya untuk mendapatkan ilmu daripada seorang pelukis sepertinya, malah ada juga yang datang bagi mempelajari seni muzik, seni binaan dan tidak kurang juga yang hadir untuk belajar berkaitan pertanian.
“Mereka akan menetap beberapa minggu di sini dan saya memiliki ramai tetamu dari luar negara yang melakukan pelbagai jenis binaan termasuk bangunan yang menempatkan hasil karya seni saya,” katanya. – UTUSAN