Peningkatan kenderaan selepas fasa Covid-19 antara faktor kesesakan di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Peningkatan kenderaan selepas fasa Covid-19 antara faktor kesesakan di Pulau Pinang

PENINGKATAN kenderaan di kebanyakan jalan raya khususnya di Jambatan Pulau Pinang ketika negara beralih ke fasa endemik Covid-19 antara faktor kesesakan yang sering menjadi rungutan ramai ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Peningkatan jumlah kenderaan di kedua-dua buah jambatan di negeri ini iaitu Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) menjadi antara faktor berlakunya kesesakan luar biasa yang sering dibangkitkan pengguna jalan raya ketika ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya yang turun padang selepas sering mendapat laporan pengguna jalan raya berhubung kesesakan itu mendapati jumlah kenderaan di kedua-dua jambatan itu meningkat sebanyak 15.9 peratus sepanjang bulan lalu berbanding Mei 2019 (sebelum pandemik Covid-19).

Jelas beliau, jumlah itu melibatkan 3.1 juta kenderaan pada bulan lalu berbanding hanya 2.8 juta kenderaan (Mei 2019).

Selain itu tambah beliau, peningkatan kenderaan juga dilaporkan berlaku di hampir kebanyakan jalan raya di seluruh negeri ini sejak awal tahun ini khususnya bermula pada Mac lalu ketika negara sedang beralih dari fasa pandemik ke fasa endemik Covid-19.

Sebagai contoh katanya, kenderaan yang melalui kesemua jalan raya bertol di negeri ini meningkat sebanyak 5.7 peratus sepanjang Januari hingga Mei tahun ini berbanding tempoh sama pada 2019 (sebelum pandemik Covid-19).

“Peningkatan jumlah kenderaan ini mungkin kerana orang ramai semakin berkeyakinan pandemik Covid-19 sudah terkawal selain rakyat juga kini bebas bergerak selepas tiada lagi sekatan manakala banyak sektor ekonomi turut dibuka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ini, pelbagai platform media sosial di Pulau Pinang dipenuhi rungutan pengguna jalan raya yang mengeluh mengenai keadaan kesesakan hampir di seluruh negeri ini khususnya di Jambatan Pulau Pinang dan jalan raya yang menghubungkan jambatan itu.

Situasi kesesakan itu juga disifatkan luar biasa dan semakin teruk sejak akhir-akhir ini yang mana ramai pengguna jalan raya terperangkap meskipun ketika memandu di luar waktu puncak.

Dalam pada itu Mohd. Shuhaily berkata, isu kesesakan khususnya di Jambatan Pulau Pinang turut mendapat perhatian kerajaan negeri dan beliau difahamkan satu perjumpaan dengan pihaknya serta pihak berwajib lain akan diadakan dalam masa terdekat bagi bersama-sama mencari jalan penyelesaian.

“Pertemuan ini diharap dapat mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan isu kesesakan ini memandangkan ia berkait rapat dengan soal kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ditanya langkah penyelesaian awal bagi mengatasi masalah kesesakan itu, Mohd. Shuhaily berkata, berkongsi kenderaan dilihat antara pendekatan jangka pendek yang boleh diambil pengguna buat masa ini.

Ini kerana jelasnya, daripada pengamatan beliau, sekurang-kurangnya tujuh daripada 10 buah kenderaan di jalan raya merupakan pemandu berseorangan (single driver) sekali gus meningkatkan lagi jumlah kenderaan di jalan raya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak menggunakan telefon bimbit ketika di atas jalan raya kerana perbuatan tersebut turut menyebabkan mengganggu kelancaran lalu lintas.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan tidak memperlahankan kenderaan dan meneruskan pemanduan seperti biasa ketika melalui kawasan kemalangan kerana perbuatan ini juga menyebabkan kesesakan di kedua-dua lorong kenderaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya