Peniaga kedai makan terkejut premis diroboh tanpa notis

Peniaga kedai makan terkejut premis diroboh tanpa notis

STEVEN Choong Shiau Yoon (kanan) bersama Setiausaha Persatuan Peniaga Melayu Taman Desa Cemerlang, Nasser Mohd. Yusof (tengah) menunjukkan salah sebuah gerai makan yang telah disita sebelum dirobohkan di Taman Desa Cemerlang, Johor Bahru. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Beberapa peniaga terkejut apabila kedai makan yang diusahakan sejak dua tahun lalu di Jalan Istimewa 5, Taman Desa Cemerlang, di sini didakwa dirobohkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tanpa sebarang notis pada 22 Mei lalu.

Peniaga, Linda Sulaiman, 45, berkata, lebih menyedihkan apabila dia sudah membeli pelbagai barangan mentah termasuk sayur-sayuran untuk mula berniaga semula setelah dua bulan tidak beroperasi.

LINDA SULAIMAN

“Sehari sebelum kedai dirobohkan, saya sudah berbelanja untuk membeli ayam, ikan, daging dan sayur untuk dimasak apabila akan kembali berniaga pada Isnin.

“Pada hari Ahad itu ketika saya membeli sedikit lagi barang keperluan lain, saya dapat panggilan telefon dimaklumkan kedai saya dirobohkan. Saya amat sedih kerana ini berlaku tanpa sebarang pemberitahuan.

“Ketika meminta penjelasan penguat kuasa di lokasi, mereka berkata terdapat peniaga warga asing yang berniaga berhampiran kedai dan telah menyerahkan notis kepada mereka. Saya sendiri tak tahu kewujudan peniaga warga asing itu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Linda berkata, mereka perlu membayar denda RM500 untuk mengambil barang seperti meja, kerusi, dapur dan sebagainya yang disita sebelum kedai dirobohkan.

Menurut seorang lagi peniaga, Walhalmina Holidin, 46, hanya mampu pasrah setelah menerima notis pengosongan premis bagi tujuan merobohkan gerainya yang terletak di kawasan berhampiran, Selasa lalu.

Dia tidak menyangka kedai yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu bersama suami yang menjadi mata pencariannya akan dirobohkan pada Ahad ini. 

Katanya, dia akan cuba membuat rayuan kepada pihak MBJB untuk tidak merobohkan kedai tersebut sebelum mendapat tapak perniagaan yang baharu.

“Saya terkejut juga menerima notis itu memaklumkan kedai akan dirobohkan pada Ahad ini. Nampaknya saya terpaksa akur dengan arahan tersebut,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan MBJB bagi membela nasib peniaga yang terkesan di kawasan tersebut.

Katanya, antara perkara yang akan dibincangkan ialah untuk menyediakan satu medan niaga yang menempatkan beberapa kedai di lokasi bersesuaian bagi membolehkan peniaga terkesan meneruskan aktiviti perniagaan.

“Jika kita lihat dari sudut undang-undang, MBJB ada hak melakukan pembersihan setelah ramai peniaga warga asing berniaga di kawasan tidak sepatutnya, dan ini menyebabkan beberapa peniaga tempatan terpalit sama.

“Jadi, dalam perbincangan bersama Datuk Bandar itu nanti akan mengusulkan cadangan penyediaan kemudahan tapak niaga yang khusus buat peniaga,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Peniaga Melayu Taman Desa Cemerlang.

Sejak awal bulan lalu, sebanyak 12 premis kedai di kawasan Taman Desa Cemerlang telah dirobohkan dengan lapan daripadanya adalah kedai diusahakan peniaga warga asing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya