Peniaga bakso didenda RM100,000 cuba rasuah polis

Peniaga bakso didenda RM100,000 cuba rasuah polis

MOHD. Zaed Asan (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban untuk didakwa atas pertuduhan memberi rasuah kepada polis. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang peniaga bakso didenda RM100,000 di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM200,000 kepada pegawai polis, tahun lalu.

Rasuah itu supaya tindakan undang-undang tidak diambil terhadap lima rakannya yang terlibat dalam jenayah penipuan pelaburan, tahun lalu. 

Tertuduh, Mohd. Zaed Asan, 34, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.  Mahkamah turut menetapkan tertuduh dipenjara 24 bulan sekiranya gagal membayar denda. 

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh bersama seorang suspek yang masih bebas didakwa dengan niat bersama telah secara rasuah memberikan suatu suapan, iaitu wang tunai RM200,000 kepada seorang ejen kepada Polis Diraja Malaysia.

Ia sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima rakannya yang ditahan semasa serbuan oleh polis Ibu pejabat Polis Daerah Nilai. Lima rakan tertuduh tersebut ditahan atas kesalahan jenayah penipuan pelaburan di sebuah apartment pada 13 November 2021. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam kereta jenis Volkswagen Passat di tepi jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Nilai Square Commercial Centre lebih kurang pukul 1.20 pagi, 14 November 2021. 

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama. 

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai satu perempat daripada tempoh pemenjaraan yang lama sekali diperuntukan bagi kesalahan itu atau dengan denda atau dengan kedua-duanya. 

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Kamal Adha Mohd. Harozi memohon hukuman yang ringan dikenakan ke atas anak guamnya yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak yang masih kecil.

“Tertuduh mengaku bersalah serta insaf serta tidak akan mengulanginya lagi, tertuduh mahu hukuman berbentuk denda dan tidak mahu dikenakan penjara, tertuduh hanya menurut arahan suspek iaitu rakkannya yamg masih bebas.

“Tertuduh juga memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan polis sepanjang siasatan dilakukan, nama suspek terlibat turut dimaklumkan,” katanya.

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin meminta mahkamah menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira kepentingan awam serta kesalahan serius yang dilakukan tertuduh.

Wan Shaharuddin turut memuji tindakan tiga anggota polis yang terbabit dalam kes berkenaan yang tidak terpedaya dengan wang rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.

Mahkamah turut menetapkan wang berjumlah RM200,000 berkenaan dilucut hak melalui Ketua Pesuruhajaya SPRM kepada kerajaan Malaysia. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya