Penggunaan mekanisasi di ladang masih rendah - Utusan Malaysia

Penggunaan mekanisasi di ladang masih rendah

Permintaan terhadap minyak sawit Malaysia dijangka terus meningkat berikutan aktiviti ekonomi lebih rancak. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap penggunaan mekanisasi bagi penuaian dan pemunggahan buah tandan segar (BTS) di syarikat perladangan masih rendah, sekali gus menyukarkan sektor tersebut mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing bagi memaksimumkan pengeluaran.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), data diperoleh daripada Unit Tekno Ekonomi menunjukkan hanya 12.6 peratus syarikat perladangan menggunakan mekanisasi bagi penuaian dan bagi pemunggahan telah mencecah 53.5 peratus. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, peratusan itu adalah berdasarkan luas kawasan tertanam bagi kawasan yang ditinjau. 

Katanya, berdasarkan tinjauan itu, kemungkinan peratusan adaptasi mekanisasi terkini mungkin sedikit tinggi namun mekanisasi masih belum digunakan secara meluas di ladang-ladang.

“Faktor yang mempengaruhi adaptasi mekanisasi pada kadar yang berkenaan untuk mekanisasi penuaian adalah berdasarkan data peratusan pokok yang boleh menggunakan cantas.

“Hanya lebih kurang 30 hingga 40 peratus sahaja kawasan yang boleh menggunakan teknologi berkenaan. Sebanyak 43 peratus adalah kawasan pokok yang lebih daripada 15 tahun yang tidak boleh menggunakan cantas dan selebihnya adalah kawasan tanam semula dan dan juga kawasan pokok belum matang serta kawasan pekebun kecil yang tidak ekonomi menggunakan teknologi itu.

“Maklum balas juga diterima bahawa banyak estet kecil tidak mempunyai sistem untuk mengadaptasi mekanisasi penuaian. Oleh yang demikian, penggunaan teknologi seperti Cantas tidak dapat diterima secara efektif,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Ahmad Parveez, bagi mekanisasi pemunggahan BTS pula, ladang atau kawasan ladang yang tidak meggunapakai kaedah mekanisasi bagi pemunggahan BTS adalah disebabkan faktor seperti topografi (kawasan berbukit), jenis tanah dan keadaan fizikal lain yang menyebabkan susah untuk adaptasi dilaksanakan.

Selain itu, jelasnya, kebanyakan polisi ladang yang menetapkan 10 peratus kawasan untuk tanam semula, menyebabkan mekanisasi pemunggahan BTS tidak ekonomi dilaksanakan sehingga hasil mencecah 15 tan sehektar setahun.

“Sektor perladangan sawit berdepan dengan masalah kebergantungan yang tinggi kepada pekerja asing.

“Oleh itu, pihak ladang perlu meningkatkan produktiviti melalui penggunaan mekanisasi dan penggunaan input pertanian secara berkesan memandangkan negara kini berdepan dengan masalah pengeluaran minyak sawit berikutan isu kekurangan tenaga buruh,” katanya. 

Ahmad Parveez memberitahu, prestasi pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia sehingga kini menunjukkan sedikit penurunan berbanding 2021.

Ujarnya, penurunan pengeluaran MSM itu disebabkan oleh kejatuhan hasil BTS.

“Bagi tempoh Januari  hingga Mei 2022, pengeluaran MSM negara menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 6.73 juta tan, berbanding tempoh sama tahun 2021.

“Penurunan pengeluaran MSM ini disebabkan oleh kejatuhan hasil BTS yang telah merosot sebanyak 3.1 peratus kepada 5.63 tan sehektar bagi tempoh Januari hingga Mei 2022 berbanding hasil BTS tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Antara faktor utama yang menyumbang kepada penurunan hasil BTS itu adalah disebabkan oleh isu kekurangan tenaga buruh di sektor perladangan sawit yang masih belum pulih sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya