BUTTERWORTH: Seorang pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat pelaburan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 60 pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen sah bernilai hampir RM1 juta.
Kedua-dua tertuduh, Mohd. Nasri Abdul Rahim, 36, dan Abdul Wahab S. Mohd. Mydin, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof serta Norhayati Mohd. Yunus.
Mengikut 30 pertuduhan di hadapan Noor Aini, Mohd. Nasri didakwa menerima deposit daripada tiga individu tanpa lesen sah di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang bermula dari April 2019 sehingga 14 Februari 2020.
Abdul Wahab pula dituduh atas 30 pertuduhan bersubahat dengan Mohd. Nasri membabitkan individu, lokasi dan tarikh sama.
Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 137(1) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Mohd. Nasri diikat jamin RM212,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Abdul Wahab pula dibenarkan ikat jamin RM126,000 dengan seorang penjamin dan sebagai syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah. Mahkamah menetapkan 1 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN