KUALA LUMPUR: Pengarah terkenal, Nizam Zakaria mengakui sebagai seorang pengarah, dia pernah ditolak oleh stesen televisyen.
Berkongsi mengenai hal itu di akaun Instagram miliknya, Nizam tidak patah semangat dan akur dengan rezeki yang ditentukan.
“Kalau kita rasa kita ada bakat, ada minat, pergi uji bakat. Ada kalanya mungkin kita kena tolak. Tidak mengapa.
“Sebagai seorang pengarah saya pun selalu kena tolak dari sesetengah projek oleh stesen TV. Walaupun produser nak saya jadi pengarah, selalu ya.
“Tapi saya dapat tawaran dari projek lain dan bagi saya ini normallah. Jadi jangan ambil hati kalau kita tidak terpilih, itulah kehidupan,” katanya.
Nizam berkata demikian menerusi sekeping gambar pendatang baharu yang dimuat naik di media sosialnya.
“Vellani sebelum ini tak pernah ada pengalaman berlakon, tapi dia tetap pergi uji bakat dan akhirnya dia dapat watak Ms. Marvel,” tulisnya.
Selaku pengarah di Radius One, Nizam berterima kasih dengan sambutan uji bakat untuk sebuah projek Budak Hostel baru-baru ini.
“Kepada mereka yang telah terpilih, mereka telah pun dihubungi dan diberikan skrip untuk dihafal. Hafal ya, bukan baca skrip tu depan kami. Ini bukan sesi baca skrip ya, ini uji bakat.
“Segelintir kamu akan bersinar lebih daripada bayangan dan bakat sendiri. Malah akan bekerja di arena hiburan Malaysia kalau rezeki tak salah alamat. Buat kami kagum dengan bakat anda!,” katanya.