IPOH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyamar sebagai anggota polis pada Isnin lalu.
Tertuduh, C. Kevin Cornelius, 41, berdepan satu lagi tuduhan di mahkamah yang sama atas dakwaan memasukkan dadah jenis morfin dan ganja dalam badan, Selasa lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.
Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa berpura-pura memegang sesuatu jawatan yang tertentu sebagai penjawat awam dengan menyamar sebagai anggota polis.
Perbuatan itu dilakukan di Bukit Kledang Menglembu di sini pada pukul 8 pagi, 20 Jun lalu.
Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis morfin dan ganja ke dalam badan pada Selasa lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Tertuduh didakwa Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibaca bersama Seksyen 38 (B) akta yang sama. Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara dua tahun selain perlu menjalani pengawasan tidak lebih tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 5 September.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN