Penduduk Taman Bukit Melaka bantah bina medan selera baharu 

Penduduk Taman Bukit Melaka bantah bina medan selera baharu 

KERK Chee Yee (kiri) mendengar penjelasan penduduk ketika sesi sidang akhbar dan tinjauan di lokasi pembinaan medan selera baharu MPHTJ di Taman Bukit Melaka, Bukit Beruang, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penduduk Taman Bukit Melaka, di sini membantah cadangan mewujudkan medan selera baharu oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di tanah lapang bersebelahan Dewan MPHTJ.

Mereka menyifatkan projek berkenaan sebagai ‘sia-sia’ memandangkan medan selera sedia ada hanya 200 meter dari lokasi berkenaan, penduduk turut khuatir pembinaan itu bakal mengundang kesesakan lalu lintas, isu pembersihan dan pencemaran bunyi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) harus mengadakan sesi dialog bersama penduduk sebelum meluluskan pembinaan dan lesen operasi.

“Menurut penduduk, kerja pembersihan tanah di tapak medan selera tersebut telah dimulakan pada minggu lalu. Antara sebab penduduk membantah termasuk isu pembersihan, kesesakan lalu lintas serta kebisingan daripada operasi dan permainan muzik di medan selera. 

“Selain daripada itu, mereka juga mempertikaikan keperluan membina medan selera yang baharu sedangkan medan selera MPHTJ sedia ada, yang hanya kurang 200 meter dari tapak medan selera ini juga masih belum mencapai kapasiti penuhnya pada waktu malam,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi pembinaan, semalam.

Chee Yee menambah, melalui satu sesi perjumpaan antara pihaknya bersama penduduk dengan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Beruang, Ng Soon, individu itu mengesahkan bahawa medan selera tersebut akan dilengkapi dengan pentas nyanyian bagi menghiburkan pelanggan. 

Jelasnya lagi, kebimbangan penduduk adalah munasabah memandangkan Taman Bukit Melaka adalah kawasan perumahan padat yang juga merupakan tapak pasar malam melibatkan lebih 200 penjaja. 

“Tambahan pula, berdasarkan apa yang boleh dilihat dari lawatan tapak ini, medan selera ini dilihat hanya berjarak tidak sampai 10 meter dari rumah yang terdekat. Setahu saya, ramai penduduk termasuk yang tinggal berhampiran tidak langsung dimaklumkan tentang sebarang butir-butir tentang pembinaan medan selera oleh MPHTJ atau mana-mana pihak. 

“Walaupun saya tidak menafikan kuasa PBT dalam meluluskan pembinaan medan selera ini, saya berpendapat bahawa sesi dialog antara MPHTJ, pengusaha medan selera dan pihak penduduk wajar diadakan terlebih dahulu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya