Pemuda BN akan perjuangkan kerusi dalam PRU-15 - Utusan Malaysia

Pemuda BN akan perjuangkan kerusi dalam PRU-15

MOHD. Hairi Mad Shah (kiri) mendengar penerangan berhubung seni lukisan yang dihasilkan sempena Fiesta Seni Mini Johor di Paragon Market Place, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemuda Barisan Nasional (BN) akan memastikan kerusi yang diperuntukkan untuk golongan muda dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kekal diberi kepada pergerakan itu walaupun terdapat kemungkinan kerusi turut diagihkan kepada parti-parti Friends of BN (FOB).

Ketua Pemuda BN Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, setakat ini perkara itu (agihan kerusi buat parti FOB) masih berada di peringkat cadangan.

“Apa yang diutarakan itu hanyalah cadangan daripada Pengerusi BN, tetapi perbincangan harus diteruskan khususnya melibatkan kepimpinan tertinggi semua pihak terlibat. Dan di peringkat Pemuda BN, saya yakin dan percaya di bawah kepimpinan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang akan terus berjuang dan pertahankan kerusi untuk orang muda,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Fiesta Seni Mini Johor di pusat beli-belah Paragon Market Place, di sini hari ini.

Pada 1 Jun lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, FOB berkemungkinan diberi peluang menjadi calon mewakili gabungan parti politik itu pada PRU-15.

Beliau memberitahu, peluang tersebut hampir pasti diberikan berdasarkan sumbangan parti-parti berkenaan dalam membantu gabungan politik itu setiap kali pilihan raya.

“Mereka (FOB) ini telah banyak membantu kita dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri, jadi takkanlah kita tak berunding,” katanya dalam sidang akhbar selepas konvensyen yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-48 BN di Kuala Lumpur.

FOB dianggotai Parti Makkal Sakti; Parti Cinta Malaysia (PCM); Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF); Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA); Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).

Sementara itu, Mohd. Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri memberitahu, peluang diberikan BN kepada golongan muda jelas diterima baik rakyat negeri ini.

“Apabila kita lihat justifikasi yang menempatkan orang muda di beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, sama ada di Melaka ataupun Johor, akhirnya BN diberikan kepercayaan penuh oleh rakyat di negeri terlibat. Alhamdulillah hari ini saya mewakili golongan pemuda telah diberi kepercayaan menggalas jawatan Exco, ini secara tidak langsung turut melihatkan keberadaan pemuda yang bersedia untuk menggalas sebarang tanggungjawab diberikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya