Pemecah ombak Pantai Puteri perlu disegerakan

Pemecah ombak Pantai Puteri perlu disegerakan

PULUHAN pokok Ru di Pantai Puteri, Melaka tumbang akibat hakisan pantai dan dipukul ombak besar akibat ketiadaan pemecah ombak. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 70 nelayan di Pantai Puteri di sini mendakwa bakal berdepan kerugian melibatkan ribuan ringgit pada monsun barat daya ini, sekiranya pembinaan pemecah ombak tidak dibina dalam masa terdekat. 

Ketua Nelayan Pantai Puteri, Rosli Ahmad, 52, berkata, ia berikutan fenomena air laut pasang yang disertai dengan ombak besar itu sering kali menghanyutkan pelbagai peralatan menangkap ikan.

ROSLI AHMAD

Katanya, isu tersebut telah diketengahkan dan agensi terlibat termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersetuju membina pemecah ombak, namun ia hanya akan dilaksanakan hujung tahun ini. 

“Kami (nelayan) dimaklumkan peruntukan sebanyak RM30 juta telah diluluskan untuk pelbagai penambahbaikan termasuk pembinaan pemecah ombak, namun ia akan dibina pada hujung tahun atau awal tahun hadapan. 

“Lambat sangat, sekarang ini pun air laut dah pasang besar, kita khuatir terpaksa tanggung lagi kerugian bernilai ribuan ringgit kerana peralatan menangkap ikan akan hanyut dibawa ombak besar,” katanya ketika sidang akhbar di Pantai Puteri di sini hari ini. 

Jelasnya, situasi ombak besar itu juga berlaku sekitar pukul 2 hingga 3 pagi dan sukar diramal para nelayan untuk menyelamatkan peralatan masing-masing. 

“Kadang-kadang ketika tidur kita tidak tahu cuaca tiba-tiba berubah, memang tidak sempat nak selamatkan barang. Saya juga mengalami kerugian hampir RM1,000 setiap kali ombak besar datang hanyutkan peralatan menangkap ikan, habis semuanya,” katanya. 

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Md. Azli Hassan, 51, memberitahu, isu tersebut terpaksa dihadapi sejak 2018 apabila projek penambakan pasir yang dilakukan secara besar-besaran di Pantai Klebang menyebabkan ombak laut beralih ke lokasi lain. 

“Kita dapat lihat kesan ketara penambakan pasir itu pada 2018 apabila berlaku hakisan pantai di sepanjang Pantai Puteri ini dan pantai-pantai lain sehingga menyebabkan pokok-pokok yang ada di pesisiran tumbang. 

“Kini ombak besar semuanya menghala ke pantai di sebelah sini, kami para nelayan kerap mengalami masalah kerosakan bot, peralatan, malah balai nelayan juga semakin uzur kerana dibadai air pasang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya