KANGAR : Pembedahan bariatrik atau membuang sebahagian perut atau usus semata-mata untuk tujuan kecantikan adalah dilarang sama sekali oleh agama Islam dan perlu dielakkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang ulama, Muhammad Azmir Azizan berkata, mengikut surah An Nisa ayat 119 mengubah ciptaan Allah SWT antaranya seperti melakukan sesuatu pembedahan untuk kecantikan adalah dilarang.
Kata Timbalan Mudir Maahad Tahfiz Al Quran Al Imam An Nawawi (MATIN) itu, hal demikian kerana tidak ada dharurat atau hajiyat untuk tujuan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya pembedahan tersebut untuk tujuan kesihatan adalah diharuskan berpandukan atas nasihat doktor.
“Ia berkait dengan darurat iaitu kalau kalau tidak melakukan pembedahan boleh hilang nyawa. Jadi ia diharuskan.
“Pembedahan untuk tujuan kecantikan ini adalah seolah-olah kita mengubah ciptaan Allah SWT dan ia tidak dibenarkan. Sebaik-baiknya elakkan perkara itu,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kegilaan untuk kurus dan cantik mendorong ramai memilih jalan pintas melakukan pembedahan bariatrik.
Disebabkan permintaan tinggi, senarai menunggu untuk melakukan pembedahan itu amat panjang dan difahamkan, terdapat beberapa hospital kini sibuk membuat jadual pembedahan tersebut sepanjang tahun dan tempoh menunggu memakan masa tiga hingga enam bulan.
Sehingga ke hari ini, pembedahan menelan kos RM25,000 hingga RM37,000 dilakukan oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk ahli politik dan selebriti terkenal.
Mengulas lanjut, Muhammad Azmir berkata, sebelum melakukan sesuatu perkara rujuklah kepada ahli ulama bagi mendapat ilmu.
“Sebelum buat sesuatu, fikir tentang pahala dan dosa. Kalau dapat pahala buat, kalau dapat dosa tinggalkan,” katanya. – UTUSAN