Pembantu kedai runcit dipenjara setahun, denda RM5,000 hina Raja Perlis - Utusan Malaysia

Pembantu kedai runcit dipenjara setahun, denda RM5,000 hina Raja Perlis

SEORANG pembantu kedai runcit (dua dari kanan ) di bawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM5,000 selepas menghina Raja Perlis di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini. - UTUSAN MALAYSIA/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Padah menghina Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, seorang pembantu kedai runcit dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Muhamad Basri Shah Rohani, 31, mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook bernama ‘Basri Shah’ dengan kata-kata menghasut bahawa baginda adalah ‘ejen wahabi’.

Kesalahan tersebut dilakukan kira-kira pukul 1.45 petang di Hotel Seri Malaysia, Kangar pada 22 Mac lalu.

Hantaran tersebut mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Tuanku Syed Sirajuddin dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Iman Nor Azmi.

Terdahulu, Nur Iman merayu agar tertuduh yang sudah berkahwin dan isterinya kini mengandung enam bulan dikenakan hukuman denda yang minima memandangkan dia tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

“Tertuduh yang sudah insaf dengan perbuatannya juga terpaksa menanggung ibunya yang sakit kencing manis dan ayah mempunyai sakit jantung,” katanya.

Sementara itu, Nordin dalam hujahnya meminta hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh bagi memberi pengajaran kepada masyarakat di luar sana supaya dengan tidak sewenang-wenangnya menabur fitnah terutama melibatkan institusi diraja dan agama Islam.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Musyiri menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda sebanyak RM5,000 serta tambahan penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Telefon bimbit yang digunakan tertuduh untuk membuat naik hantaran tersebut juga dilupuskan.

Pada 23 Mac lalu, Polis telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung komen di Facebook yang didakwa menghina Tuanku Syed Sirajuddin.


Tangkapan dibuat susulan bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Ahmad Bakri Ali yang melihat hantaran tersebut ketika berada di sebuah hotel di Kangar membuat laporan polis dan meminta siasatan dilakukan terhadap pemilik akauan ‘Basri Shah’ yang meninggalkan komen  berkaitan zikir dan kedudukan Mufti Perlis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya