Pemandu Myvi punca kemalangan lima kereta dituduh miliki dadah - Utusan Malaysia

Pemandu Myvi punca kemalangan lima kereta dituduh miliki dadah

MUNZIR Azmeer Abd Rahim dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis anggaran berat 3.39 gram. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang lelaki yang memandu sebuah kereta Myvi dan terlibat dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Lebuh Raya Utara Selatan di Seremban baru-baru ini dihadapkan ke mahkamah, hari ini.

Munzir Azmeer Abd. Rahim, 28, yang merupakan seorang penganggur, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah dan dituduh di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234).

Pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar, Che Ku Nor Azlinda Che Ku Mahmood, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, pada 5 Jun lalu kira-kira pukul 10.25 pagi dalam kereta jenis Perodua Myvi di Kilometer 242.9, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, Munzir Azmeer didapati memiliki tumbuhan kering disyaki dadah jenis kanabis anggaran berat 3.39 gram.

Jika sabit hukuman, tertuduh bakal berhadapan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng memohon sebutan semula kes untuk laporan kimia serta sebutan jaminan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Jun sebagai sebutan semula kes untuk mengambil pengakuan tertuduh di Mahkamah Majistret Rembau.

Pada 6 Jun lalu, media melaporkan seorang pemandu kereta Myvi dipercayai positif dadah hilang kawalan dan terlibat dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Lebuh Raya Utara Selatan dengan video kejadian tersebut turut tular di media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya