PASIR MAS: Seorang pemandu lori berusia 27 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan mencederakan isteri dan ibu mentua di Kampung Cabang Empat, Tumpat pada 21 Jun lalu.
Tertuduh, Wan Mohammad Hafizuddin Wan Ismail mengaku bersalah sejurus pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret, Mustaqim Sukarno.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh dengan sengaja mencederakan ibu mentua, Tuan Azizah Tuan Bongsu, 61, dan isteri, Nik Salma Joni, 26, menggunakan pisau yang boleh menyebabkan kematian.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Cabang Empat, Tumpat pada jam 5.30 petang, 21 Jun lalu.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, manakala tuduhan kedua disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan.
Jika didapati bersalah tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun mengikut Seksyen 324, dan penjara 20 tahun bagi Seksyen 326.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Hajarul Falenna memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana dibimbangi mengganggu saksi.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 5 September sebagai tarikh hukuman dan tidak menawarkan jaminan. – UTUSAN