KUALA TERENGGANU: Masalah pendengaran dialami sejak kecil tidak menghalang Tengku Abdul Aziz Tengku Md. Fauzi, 18, untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan hari ini.
Calon berkeperluan khas (CBK) dari Sekolah Menengah Imtiaz Dungun dekat sini sebaliknya membuktikan mampu berjaya dalam pelajaran apabila meraih 9A+ dan 3A.
Menurut Tengku Abdul Aziz, dia bersyukur dapat merealisasikan harapan keluarga walaupun berdepan kekangan setiap kali mengulangkaji pelajaran terutama ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Jika belajar subjek yang rumit, saya cepat pening ketika memakai alat bantuan pendengaran dan perlu berehat atau memejamkan mata untuk kembali mendapatkan fokus. Selain itu, amalan solat berjemaah di awal waktu dan membaca al-Quran menjadi rahsia kejayaan saya di samping doa yang tidak putus-putus daripada kedua ibu bapa.
“Saya harap calon berkeperluan khas lain tidak berputus asa sebaliknya menjadikan ia satu kelebihan,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman keputusan SPM Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu di sini, hari ini.
Keputusan SPM itu diumumkan Pengarah Pendidikan Terengganu, Abdul Muie Ngah.
Tambah anak bongsu kepada sembilan adik-beradik itu, dia mahu meneruskan pengajian di luar negara bagi mengejar cita-cita menjadi seorang ahli fizik yang berjaya.
Bapanya, Tengku Md. Fauzi Tengku Mahmud, 60, pula berkata, kejayaan anak lelakinya itu merupakan satu kebanggaan buat keluarganya setelah seorang abang dan kakaknya turut mengalami masalah pendengaran yang sama. – UTUSAN