KUALA KANGSAR: Lebih 70 pelajar lepasan tahfiz yang mengikuti program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di bawah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut yang diumumkan kelmarin.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar USAS, Profesor Datuk Dr. Wan Sabri Wan Yusof berkata, keputusan itu menunjukkan para pelajar tahfiz di bawah Pusat Tuisyen USAS Bridging Centre (UBC) bukan sahaja cemerlang dalam mata pelajaran Islam tetapi berkemampuan dan cemerlang dalam subjek umum seperti Bahasa Malaysia, Sejarah dan Sains.
Menurut beliau, Pusat Tuisyen dan Pusat Peperiksaan Persendirian bagi calon SPM diwujudkan USAS pada tahun lalu sebagai salah sebuah projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk pelajar tahfiz yang belum memiliki SPM.
“Seramai 80 pelajar UBC menduduki peperiksaan SPM 2021 dan dalam tempoh 10 bulan pengajian mereka berusaha untuk menguasai enam mata pelajaran wajib dan dua mata pelajaran elektif sambil dibantu 27 guru.
“Mereka melalui fasa pendidikan yang mencabar yang perlu melalui sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan bersemuka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat tawaran kemasukan Program Pengajian Asasi Sastera Ambilan Jun/September 2022 di USAS di sini semalam.
Dalam majlis itu, Wan Sabri menyampaikan surat tawaran kepada tiga Pelajar Terbaik SPM UBC 2021 iaitu Nurul Syamimi Azhar yang memperoleh 8A, Salsabiela Fauzi 6A dan Muhammad Nabil Imran Saybee Nor Hafizi yang mendapat 5A.
Beliau berkata, daripada 80 pelajar yang menduduki SPM, 93 peratus calon telah lulus kelayakan memiliki SPM dan memiliki peluang menembusi arus perdana pendidikan.
Katanya, menerusi kejayaan itu diharapkan akan menjadi perintis kepada 138 pelajar kohot kedua yang bakal menduduki SPM UBC 2022.
“USAS menyasarkan 100 peratus pelajar aliran tahfiz ini berjaya menjejaki menara gading berikutan pencapaian mereka untuk bersaing walaupun belajar dalam tempoh singkat.
“USAS akan menambah baik pusat kecemerlangan ini termasuk kemudahan lain terutama guru-guru selain kerjasama dengan rakan-rakan strategik USAS,” katanya. – UTUSAN