Pelajar dalam bidang STEM sekitar 47 peratus

Pelajar dalam bidang STEM sekitar 47 peratus

DR. Adham Baba (empat dari kanan) melihat aksi robot bernama Pepper selepas merasmikan Galeri Pameran Robotik atau Cybernetics di Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara di Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan menaiktaraf Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara di sini dengan mewujudkan Galeri Pameran Robotik atau Cybernetics sebagai usaha memupuk minat pelajar terhadap sains dan sains tulen.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kerajaan memandang serius usaha untuk meningkatkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Ketika ini, jumlah pelajar dalam bidang STEM adalah pada kadar 47 peratus dan sains tulen sebanyak 19 peratus. Untuk atasi masalah ini kita perlu tingkat penglibatan mereka dengan sains tulen. Kita tahu angka itu sangat rendah apabila ingin menuju ke negara berpendapatan tinggi.

“Lantas, pameran sains seperti Galeri Cybernetics oleh Pusat Sains Negara ini diyakini bukan sahaja mampu memupuk budaya cintakan sains malah meningkatkan minat terhadap bidang STEM,” katanya pada Majlis Perasmian Galeri Robotik berkenaan di sini hari ini.

Berkeluasan 500 meter persegi, Galeri Cybernetics mengetengahkan sebanyak 16 bahan pameran dan bertemakan Cybernectis: Dunia Interdimensi Anda’ yang bakal memberi pengalaman menyeronokkan termasuk pengalaman berinteraksi dengan robot secara interaktif apabila berkunjung ke galeri itu.

Galeri berkenaan terbahagi kepada lima segmen utama iaitu warisan automasi Islam, anatomi robot, machine in action, beat the machine dan industri pintar dengan tiga elemen utama iaitu penderiaan, pemikiran dan tindakan.

Tambah Dr. Adham, kementeriannya berharap agar Galeri Cybernetics ini dapat menarik minat golongan muda untuk berkecimpung dalam dunia robotik dan automasi.

“Generasi muda ini yang bakal menyokong keperluan modal insan dalam sektor industri di Wilayah Utara seperti di Kulim Hi Tech Park, Bayan Lepas Free Trade Zone, Seberang Jaya Industrial Estate, Kedah Rubber City serta yang akan datang iaitu Kedah Aerotropolis,” katanya.

Jelasnya, peruntukan sebanyak RM10 juta disalurkan kepada Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara bagi tiga projek sedang dalam perancangan dan pembangunan iaitu Galeri Pameran Kanak-Kanak berkonsepkan sains Oseanografi.

“Projek ini bermula pada Jun ini dijangka siap pada Mei 2023. Selain itu, kita akan menaik taraf Taman Pendidikan Sains berkonsepkan biodiversiti dan asimilasi alam sekitar.

“Projek ini dijangka bermula pada 2023 dan Pembangunan Galeri Pameran Cabaran Sains berkonsepkan pengembaraan eksplorasi dengan elemen sains, teknologi, kejuruteraan, Matematik dan Kesenian (STEAM) pula bermula pada 2024,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan kemasukan percuma ke Pusat Sains Negara serta galeri berkenaan selama sebulan bermula 2 Julai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya