TAPAH: Tawaran gaji yang tinggi berikutan kenaikan harga kelapa sawit menyebabkan pekerja warga asing lari atau dicuri untuk bekerja di sektor perladangan berkenaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, tindakan pemilik ladang yang menawarkan bayaran tinggi juga menyebabkan masalah berkenaan berlaku hingga sektor lain kekurangan tenaga kerja asing.
“Itu memang betul (pekerja asing lari ke sektor perladangan sawit) dan saya setuju sebab kita lihat permintaan yang tinggi di sektor perladangan dengan kenaikan harga kelapa sawit. Pemilik ladang kelapa sawit juga sanggup bayar gaji yang lebih daripada sektor lain maka ada juga yang lari dan ada yang dicuri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Tapah di sini hari ini.
Menurut Saravanan, bagi mengatasi masalah tersebut, Kementerian Sumber Manusia akan memperkenalkan sistem kad pengenalan pekerja asing bagi mengelak pekerja asing lari ke sektor perladangan dan bekerja di ladang kelapa sawit.
Katanya, langkah itu juga bertujuan mengelakkan majikan daripada mengambil kesempatan dan menyalah guna pendaftaran pekerja asing di sektor masing-masing.
“Satu lagi masalah yang saya lihat, kalau kita mengikut bayaran levi untuk sektor pertanian adalah lebih murah, maka ramai majikan walaupun daripada sektor lain mereka membawa pekerja asing dengan saluran pertanian kerana mereka boleh bayar levi yang murah. Dengan memperkenalkan sistem kad pengenalan mengikut sektor kita bakal mengatasi masalah ini,” katanya.
Saravanan berkata, sistem kad pengenalan pekerja asing mengikut sektor ini juga akan dapat memudahkan kerja-kerja penguatkuasaan pihak berkuasa terhadap pekerja asing serta majikan yang melanggar peraturan.
“Sistem kad pengenalan pekerja asing akan memudahkan penguatkuasaan pihak berkuasa daripada imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Sebelum ini media melaporkan kenaikan harga buah tandan segar (BTS) susulan peningkatan ketara harga minyak sawit mentah (MSM) menjejaskan tenaga kerja dalam sektor lain, terutamanya pembinaan.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo turut mengalami kesannya apabila kontraktor kini menghadapi masalah kekurangan pekerja susulan tawaran gaji lebih menarik dalam sektor perladangan sawit. – UTUSAN