KOTA BHARU: Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pebagai guna (MPV) jenis Honda Stream di Kampung Dendang, Ketereh di sini, semalam.
Mangsa, Che Hashiam Hassan, 46, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Pemandu MPV yang berusia 19 tahun pula mengalami kecederaan di kepala dan dada manakala penumpang berusia 47 tahun cedera di dada mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian MPV yang dipandu lelaki berusia 19 tahun itu dari arah Kok Lanas menghala Ke Ketereh pada pukul 12.45 tengah hari.
Menurutnya, setibanya di lokasi, MPV yang dipercayai dipandu dalam keadaan laju itu hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh mangsa.
“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa melambung dan terjatuh di atas laluan utama arah ke Ketereh. MPV tersebut kemudian masuk semula ke laluan utama dan bertentangan lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kanan sebuah treler yang datang dari Ketereh menghala ke Kok Lanas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, akibat pelanggaran tersebut MPV kemudian tercampak dan tersadai di bahu kiri jalan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41( (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN