Pegawai polis nafi bocor gambar Bella

Pegawai polis nafi bocor gambar Bella

BELLA ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi mengikuti perbicaraan kes penderaan terhadap dirinya, baru-baru ini. - FOTO/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis menafikan bahawa gambar kecederaan remaja Sindrom Down, Bella yang dipaparkan dalam posting Facebook milik aktivis, Mona Din dibocorkan olehnya.

Juruanalisa Unit Siasatan Audio Video Makmal, Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Mior Samsul Abd. Rahman juga menafikan bahawa terdapat pegawai atau anggota polis lain yang mempunyai akses kepada sebuah telefon bimbit Iphone warna merah yang mengandungi gambar-gambar dan video rakaman kecederaan Bella.

Asiah: Laporan analisis forensik berkaitan gambar-gambar ini disediakan pada 9 Ogos 2021.

Mior Samsul: Betul.

Asiah: Rujuk IDD59 yang mengandungi posting Facebook Mona Din dengan laporan analisis. Bandingkan gambar dalam kedua-dua dokumen tersebut. Saya cadangkan gambar 3,5,6,10,11 dalam IDD59 adalah berasal daripada telefon bimbit yang berada simpanan polis.

Mior Samsul: Saya tidak tahu.

Asiah: Saya cadangkan ada pegawai polis lain yang mempunyai akses kepada telefon bimbit tersebut dan telah bocorkan gambar-gambar ini kepada orang awam.

Mior Samsul: Saya tak setuju.

Pada prosiding sebelum ini, pegawai polis itu ketika membaca pernyataan saksinya berkata, dia menerima sebuah telefon bimbit jenama iPhone dan satu kad sim Maxis pada 22 Julai 2021.

Mior Shamsul dalam keterangannya telah menjalankan proses mengekstrak data dari telefon bimbit pada 9 Ogos 2021 dan kemudian menyimpan telefon bimbit dalam almari berkunci dalam biliknya.

Saksi itu berkata demikian pada pada perbicaraan kes Siti Bainun, 30, yang didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas, Mior Samsul menjelaskan, saksi itu bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa dia tidak pernah membuat perbandingan di antara gambar dan rakaman video yang telah diekstrak dengan gambar serta video di dalam telefon bimbit kerana tidak pernah diminta untuk berbuat demikian.

“Saya setuju sebab tiada permohonan yang minta saya buat perbandingan. Permohonan yang diterima adalah untuk jelaskan (enhance) sahaja,” katanya.

Saksi itu juga memberitahu segala analisis dan penambahbaikan yang dibuat pada gambar dan video adalah berdasarkan permohonan pegawai penyiasat.

“Saya memang bebas untuk memilih apa sahaja gambar yang ada dalam telefon bimbit tetapi ia mesti berdasarkan permohonan yang dibuat,” kata Mior Samsul.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Izralizam Sanusi masih berjalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya