Pegawai JKM nafi siasatan berat sebelah

Pegawai JKM nafi siasatan berat sebelah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan siasatan yang dijalankan berhubung kecederaan remaja  Sindrom Down, Bella sebagai berat sebelah.

Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, juga menafikan dia gagal menjalankan tugasnya sebagai pegawai pelindung kepada Bella apabila tidak menyiasat mengenai dakwaan Siti Bainun bahawa Bella cedera akibat terkena air panas dari pemanas air (water boiler).

“Pada 1 Julai 2021, saya telah membuat permohonan untuk membatalkan perintah jagaan tetap yang telah diberikan kepada Siti Bainun. Dalam tempoh itu juga saya telah menemu bual Zuriyanti, Shira, Haiza dan Suhana dan kanak-kanak (Bella) juga telah diselamatkan.

“Keterangan mengenai water boiler tidak perlu bagi saya sebab kanak-kanak dah diselamatkan dan telah ditempatkan semula di Taman Sinar Harapan. Siasatan saya lebih menjurus kepada untuk menyelamatkan mangsa dan bukannya mengetahui punca kecederaan,” katanya.

Saksi itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela, Mohammad Farhan Maaruf dalam perbicaraan kes Siti Bainun yang didakwa mengabaikan dan menganiaya remaja sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara bulan Februari dan Jun 2021 di sebuah unit rumah kondominium. Kondo Irama Wangsa, Seksyen 10, Wangsa Maju di sini.

Pertuduhan terhadap wanita itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu ketika ditanya oleh seorang lagi peguam bela Siti Bainun, Asiah Abd. Jalil, saksi pendakwaan ke-12 itu menafikan dia yang telah membocorkan gambar kecederaan Bella yang ketika itu sedang menerima rawatan di hospital kepada orang awam.

Asiah: Setuju dengan saya Encik Imran melawat Bella di Wad Covid pada 4 Julai 2021.

Mohamad Imran: Setuju.

Asiah: Bella pakai baju hospital.

Mohamad Imran: Setuju.

Asiah: Masa itu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) jadi tiada seisapa boleh melawat. 

Mohamad Imran: Setuju.

Asiah: Tetapi awak boleh pergi sebab pegawai pelindung.

Mohamad Imran: Ya.

Asiah: Rujuk IDD59, rujuk kepada gambar 1,2,4,7 8 dan 12, itu gambar Bella yang viral masa itu. Encik Imran yang leak gambar tersebut.

Mohamad Imran: Tidak

Semalam, Juruanalisa Unit Siasatan Audio Video Makmal, Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Mior Samsul Abd. Rahman menafikan beliau merupakan individu yang membocorkan gambar kecederaan Bella sehingga ia dipaparkan dalam posting Facebook milik aktivis, Mona Din dibocorkan olehnya.

Pegawai polis itu merupakan individu yang menjalankan proses mengekstrak data daripada sebuah telefon bimbit Iphone yang mengandungi rakaman video dan gambar berkaitan Bella pada 9 Ogos 2021.

Perbicaraan di hadapan hakim Izralizam Sanusi bersambung 20 Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya