PERMATANG PAUH: Pasar Awam Seberang Jaya di sini, dibangunkan semula sebagai bangunan pasar awam dan pusat penjaja baharu yang dikenali sebagai Pasar Rakyat Seberang Jaya dengan kos sebanyak RM19.5 juta.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pembangunan semula itu diharap dapat memberi nafas baharu’ terhadap pasar awam lama dan pusat penjaja di situ yang menjangkau usia hampir tiga dekad.
Katanya, Pasar Rakyat Seberang Jaya itu dibina di atas tanah berkeluasan lebih lima hektar milik kerajaan negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
“Pembangunan semula ini melibatkan empat plot tanah yang merangkumi pembangunan semula pasar awam dan pusat penjaja, projek pembangunan bercampur, projek komersial serta tempat meletak kenderaan.
“Kerja-kerja awalan untuk projek ini telah bermula dan dijangka siap selewat-lewatnya Mac tahun depan walaupun mengikut pelan asal sepatutnya siap hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran projek tersebut.
Ketika ini, kira-kira 255 peniaga serta penyewa asal di pasar awam berkenaan ditempatkan di Pasar Awam Sementara Seberang Jaya tidak jauh dari situ sejak Mei 2019 dengan kos sewaan semasa mereka dikurangkan kepada 50 peratus.
Difahamkan, sebanyak 262 petak atau lot niaga akan diwujudkan di kawasan pasar dan penjaja baharu di situ selepas ini selain tambahan sebanyak 220 lot lagi di sekitar pasar berkenaan bagi memberi peluang kepada peniaga atau penjaja yang tidak berlesen sebelum ini untuk turut beroperasi. – UTUSAN