PETALING JAYA: Tiada kesedaran sejarah dan kurang peruntukkan kewangan merupakan antara punca beberapa bangunan warisan negara terbiar begitu sahaja dan akhirnya diambilalih pemaju untuk projek pembangunan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Sejarah Negara, Prof. Madya Dr. Kassim Thukiman berkata, lebih menyedihkan apabila orang luar lebih menghormati warisan negara berbanding rakyat tempatan sendiri apabila merupakan pengunjung setia ke lokasi bersejarah kerana ingin mahu mengetahui asal usul pembinaan negara bangsa.
Katanya, tidak dinafikan negara mempunyai Akta Warisan Kebangsaan yang digubal bagi menjaga warisan dan kebudayaan. namun belum cukup ‘taring’ untuk mempertahankan lokasi bersejarah yang meraih perhatian tinggi pemaju untuk pembangunan projek mencakar langit.
“Segalanya berpunca apabila kita gagal untuk menerapkan nilai sejarah dalam dasar pembangunan negara. Adakah kita menekan aspek pemeliharaan lokasi bersejarah dalam satu-satu kebenaran merancang di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan?
“Walaupun projek itu dilakukan atas tanah persendirian, sebaliknya pihak berkuasa tempatan perlu melihat sama ada lokasi itu mempunyai nilai sejarah atau sebaliknya? Jika ada, saya berpandangan perlu teliti untuk memberikan kebenaran merancang terlebih dahulu,” katanya.
Sebelum ini, negara dikejutkan dengan berita Istana Raja Muda di Teluk Intan yang mungkin lenyap apabila dibuka untuk jualan umum meskipun bangunan itu mempunyai nilai sejarah sendiri termasuk Institusi Diraja Perak.
Dalam pada itu, seorang lagi Pakar Sejarah Negara, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, tidak dinafikan tiada peruntukkan menjadi punca bangunan warisan negara terbiar walaupun dimiliki kerajaan Pusat dan negeri, sebaliknya perkara itu tidak boleh dijadikan alasan sehingga menghalang pemeliharaan aset bersejarah negara.
Katanya, pihak berwajib perlu bijak menguruskan bangunan warisan tanpa membiarkannya gagal dipelihara sehingga dipandang sepi dan tidak diambil peduli oleh rakyat.
“Saya amat sedih apabila wujud tempat-tempat bersejarah terbiar begitu tanpa pelihara. Misalnya Sekolah Kebangsaan Tunku Putera yang lokasi rundingan Rundingan Damai Baling antara kerajaan dan Parti Komunis Malaysia apabila ianya tidak terjaga dengan begitu baik,” katanya.
Ramlah kemudian melahirkan perasaan bimbang sekiranya perkara itu berterusan boleh menyebabkan generasi akan datang tidak menghargai warisan dan melupakan sejarah negara serta akhirnya asas pembinaan negara bangsa gagal diterapkan dalam jati diri masing-masing.
“Apa yang akan jadi pada generasi masa depan jika bangunan sejarah yang sepatutnya menjadi pengajaran sejarah tetapi dibiarkan begitu sahaja?” soalnya. – UTUSAN