Operator kilang cederakan remaja dengan kunci didenda RM900 - Utusan Malaysia

Operator kilang cederakan remaja dengan kunci didenda RM900

SITI Zulaikha Zolkifli (kanan) yang mengaku bersalah mencederakan seorang remaja didenda RM900 oleh Mahkamah Majistret di Sungai Petani, hari ini. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang operator kilang didenda RM900 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini akibat mencederakan remaja dalam pergaduhan di Pantai Merdeka, Ahad lalu.

Tertuduh, Siti Zulaikha Zolkifli, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.

Nadhirah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Najihah Azizan, 19, di padang rekreasi Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, pada pukul 6.22 petang, 19 Jun lalu.

Siti Zulaikha didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeyaa, manakala Siti Zulaikha tidak diwakili peguam.

Sementara itu, tertuduh yang memakai baju dan tudung hitam ketika hadir ke mahkamah menjelaskan denda yang dikenakan.

Dalam kejadian itu, suspek telah menyerang mangsa yang ketika itu sedang membantu kakaknya berniaga barang mainan kanak-kanak di sebuah gerai di Pantai Merdeka.

Mangsa diserang menggunakan kunci kereta hingga mengakibatkan kecederaan pada kening kanan selain mengadu sakit pada badan kerana terjatuh akibat ditolak.

Video pergaduhan dan gambar wajah mangsa yang berlumuran darah akibat kejadian tersebut turut tular di media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya