BAGAN SERAI: Operasi pembenihan awan di empangan Tasik Bukit Merah di sini tetap dilakukan walaupun paras air di tasik itu telah naik sehingga melepasi tahap kritikal pada minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, operasi pembenihan awan di empangan Tasik Bukit Merah akan dilakukan selama tiga hari bermula hari ini.
Menurutnya, air tasik itu untuk membekalkan air ke sawah padi seluas 19,058 hektar di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian di sini dan 1,267 hektar di IADA Pulau Pinang.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi yang berkaitan akan melaksanakan pembenihan awan selama tiga hari.
“Pembenihan awan merupakan antara satu alternatif bagi mengatasi isu penyusutan paras air di tasik ini,
“Paras air di tasik hari ini mencatatkan 27 kaki iaitu telah menghampiri paras normalnya manakala taburan hujan di kawasan ini mencatatkan sebanyak 0.7 milimeter,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Razman, empangan tersebut mengalami penyusutan air yang kritikal tahap tiga bermula pada 27 Mei lalu menyebabkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian terpaksa menghentikan bekalan air ke sawah padi.
Berikutan itu, kerajaan bersetuju melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan empangan itu bagi mengatasi isu bekalan air untuk sawah.
Katanya, kerajaan negeri juga telah mengenal pasti beberapa rancangan bagi penyelesaian jangka masa panjang isu penyusutan air tasik Bukit Merah yang berlaku setiap tahun terutamanya ketika memasuki musim kemarau.
“Antara cadangan itu ialah mendalamkan kolam bagi menambah kapasiti takungan air dan membina terowong air dari Sungai Perak.
“Kerajaan sedang membuat kajian dan meneliti setiap cadangan rancangan yang dikemukakan bagi menyelesaikan isu itu,” katanya. – UTUSAN