KOTA BHARU: Seorang lelaki kategori orang kurang upaya (OKU) membuktikan kekurangan dirinya bukan penghalang untuk menyahut cabaran dilontar arwah bapanya selepas dinobatkan sebagai penerima anugerah khas pada Majlis Konvokesyen Kolej Uniti Kota Bharu 2022, di sini semalam.
Lebih manis, Azmi Ibrahim, 26, yang mengalami kecacatan kekal di kedua belah tangan dan kaki mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) bermula 3.79 hingga 4 sepanjang enam semester pengajian di kolej berkenaan.
Berkongsi kejayaan itu, Azmi berkata, dia pernah berputus asa mahu meneruskan pengajian disebabkan kekurangan dirinya itu selain pernah kecundang dalam pelajaran.
Bagaimanapun, katanya, dia bertuah apabila arwah bapanya, Ibrahim Ismail memberi semangat supaya tidak mudah mengalah.
“Disebabkan semangat ayah, saya tekad meneruskan pengajian, walaupun mengalami kekurangan dari segi fizikal.
“Saya kuatkan azam dan akhirnya mampu berjaya dalam pelajaran seperti orang lain,” katanya ketika ditemui.
Azmi yang merupakan pelajar jurusan Diploma Psikologi berkata, semangatnya pernah hilang selepas arwah bapanya meninggal dunia pada Disember tahun lalu pada usia 61 tahun akibat penyakit kronik.
Katanya, kehilangan itu amat dirasakan sehingga memberi kesan kepada pelajarannya.
“Saya reda dengan ketentuan Illahi. Alhamdulillah dengan izin Allah saya berjaya menamatkan pelajaran demi mencapai cita-cita untuk menjadi kaunselor.
“Nasihat saya pada golongan senasib seperti saya, apapun kesukaran yang berlaku dalam hidup ingatlah masih ada lagi mereka yang lebih susah dan tidak bernasib baik,” ujarnya. – UTUSAN