NS lancar perkhidmatan bas luar bandar

NS lancar perkhidmatan bas luar bandar, beri manfaat kepada 70,000 penduduk

AMINUDDIN Harun (tiga dari kanan) merasmikan projek perkhidmatan Bas Luar Bandar Negeri Sembilan (Rentas NS) di Rembau, Negeri Sembilan, hari ini. - FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Projek Perkhidmatan Bas Luar Bandar Negeri Sembilan (Rentas NS) yang dilaksanakan sejak 16 Mei lalu di dua daerah di negeri dijangka mampu dimanfaatkan oleh sekitar 70,000 penduduk.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Rentas NS merupakan inisiatif baharu kerajaan negeri menerusi Belanjawan 2022 di bawah bidang Pemerkasaan Komuniti yang membabitkan peruntkan sebanyak RM1 juta.

“Inisiatif Bas Luar Bandar ini telah mula beroperasi pada 16 Mei yang lalu melibatkan daerah Rembau dan Tampin. Ia diperkenalkan kerajaan negeri melalui Mara Liner Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Sebanyak lapan unit bas baharu berkapasiti seramai 30 orang penumpang disediakan bagi memenuhi perkhidmatan trip ulang alik di dua laluan daerah Rembau dan Tampin.

“Rentas NS dijangka memberi manfaat kepada 70,000 penduduk sekitar yang merangkumi 25 institusi pengajian dan sekolah serta 47 kawasan perkampungan, taman perumahan dan fasiliti kesihatan,” katanya pada Majlis Pelancaran LED Billboard Daerah Rembau dan Rentas NS Daerah Rembau dan Tampin, di sini hari ini.

Aminuddin berkata, perkhidmatan Rentas NS akan memberikan masyarakat luar bandar perkhidmatan bas harian setanding dengan perkhidmatan yang dinikmati penduduk di kawasan bandar dengan penggunaan sistem bayaran tambang secara tunai dan tanpa tunai.

“Pendekatan ini meningkatkan kecekapan pengurusan perkhidmatan dan mengelakkan ketirisan dalam kutipan tambang. Caj tambang sekitar RM2 hingga RM4 yang dikenakan juga adalah berpatutan setelah mematuhi syarat yang telah ditetapkan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.

Menurut beliau lagi, kadar tambang dengan pengurangan separuh harga akan diberikan kepada warga emas serta kepada pelajar yang berpakaian seragam sekolah termasuk pelajar institut pengajian tinggi dengan bukti kad identiti pelajar.

“Satu aplikasi juga sedang dibangunkan iaitu perancangan perjalanan bagi memudahkan penduduk menggunakan Rentas NS tanpa menunggu lama kerana boleh dilihat lokasi perkhidmatan di kawasan masing-masing dengan lebih tepat,” katanya yang turut memberitahu kerajaan negeri akan meneliti dan mempertimbangkan untuk meluaskan perkhidmatan itu di daerah lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya