Nilai sebelum benar anjur Bon Odori - Utusan Malaysia

Nilai sebelum benar anjur Bon Odori

UMAT Islam dinasihatkan mengelak daripada terlibat dengan Festival Bon Odori kerana dibimbangi boleh membawa kepada syirik. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penganjur aktiviti sambutan perayaan Bon Odori digesa menilai semula keperluan hebahan program tersebut apabila menggunakan poster memaparkan karikatur wanita bertudung kerana bertentangan dengan agama Islam.

Malah, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa menilai semula penganjuran program itu serta memantau hebahannya kerana Bon Odori merupakan perayaan bagi masyarakat Jepun beragama Buddha.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, beliau mempersoalkan tindakan pihak berkuasa apabila hebahannya boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat tempatan yang beragama Islam.

“Penganjur sepatutnya lebih peka, sebab Bon Odori ini adalah perayaan berkaitan keagamaan sementara tariannya pula ada maksud tertentu berkaitan agama Buddha, tak sepatutnya berlaku dan perlu dinilai semula.

“Sepatutnya perkara seperti ini diteliti kerana menyentuh sensitiviti agama Islam, seolah-olah perayaan itu yang boleh dianggap atau disalah tafsir oleh orang ramai. Kerajaan negeri yang memberikan permit, PBT yang meluluskan penganjuran patutnya lebih peka dari sudut syarat-syarat, poster dan sebagainya. Itulah yang sepatutnya dipantau, kadang-kadang orang yang menganjurkan pun mereka tidak faham,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu akhbar ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam supaya tidak menghadiri sambutan Bon Odori yang akan diadakan pada 16 Julai nanti.

Posternya sebelum ini tular dalam media sosial dipercayai anjuran Kelab Jepun Kuala Lumpur, Sekolah Jepun Kuala Lumpur dan Kedutaan Besar Jepun di Malaysia serta mendapat kerjasama daripada pelbagai organisasi termasuk Tourism Selangor Sdn. Bhd.

Penganjuran Bon Odori juga dikatakan mendapat sokongan oleh kerajaan negeri dan Syarikat Invest Selangor Berhad serta Perbadanan Stadium Malaysia.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd. Samad memberitahu, perayaan Bon Odori bukan kali pertama disambut di negara ini, malah pernah dianjurkan pada tahun-tahun sebelum pandemik Covid-19.

“Program itu, memang sudah biasa disambut tiap-tiap tahun dan banyak dihadiri oleh pekerja kilang-kilang Jepun dan sebagainya. Tak menjadi isulah, sebab sudah pernah buat seperti sebelum ini. Bukan isu baharu.

“Cuma yang penting, orang yang hendak pergi itu kena fahamlah apa sambutan Bon Odori itu, sambutan untuk apa. Kalau aktivitinya bertentangan dengan agama Islam, tak perlulah datang. Kalau kita tidak ada melibatkan upacara keagamaan, mungkin tidak ada masalah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya