NGO, profesional dalam khemah besar Tun M - Utusan Malaysia

NGO, profesional dalam khemah besar Tun M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berbanding parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menegaskan perkara tersebut, Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerjasama dengan NGO adalah lebih baik kerana kebanyakan matlamat parti yang ada pada hari ini bukanlah untuk bangsa atau negara.

Kata beliau, perjuangan parti orang Melayu juga dilihat lebih ke arah untuk mendapat tempat menjadi Perdana Menteri dan menteri Kabinet.

Jelas bekas Perdana Menteri itu lagi, Pejuang telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai NGO yang terdiri daripada pesara tentera, guru dan kakitangan kerajaan serta golongan profesional yang berminat untuk menyelamatkan bangsa Melayu.

“Memang benar Pejuang akan bekerjasama dengan NGO di negara ini kerana mereka juga ada hak mengundi. Kalau UMNO bergantung kepada ahli parti, mereka tidak boleh menang. UMNO menang kerana ramai orang sokong, kita pun macam itu juga.

“Setakat ini, terdapat 100 NGO Melayu yang boleh menjalin kerjasama dengan Pejuang kerana mereka juga ada penyokong dan mempunyai perjuangan sama dengan kita.

“Sehubungan itu, Pejuang tidak akan bergerak secara solo. Cuma kita tidak boleh bekerjasama dengan ‘penyangak’ dan ‘pencuri’ walaupun mereka kuat, mereka kata mereka boleh menang secara solo,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pemukiman Pejuang Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalannya, Datuk Marzuki Yahya.

Ditanya mengenai kerjasama dengan parti lain, Tun Mahathir menegaskan, jika mereka berpegang kepada perjuangan Pejuang, adalah tidak mustahil untuk menjalinkan kerjasama, namun, bukan untuk mewujudkan satu gabungan.

Tambah Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, kerjasama itu bakal berlaku hanya apabila tiba pilihan raya, bukannya buat masa ini.

“Pada waktu ini, bukan masa yang sesuai untuk mengadakan rundingan dengan parti lain kerana apa paling penting ialah menjelaskan masalah yang dihadapi oleh orang Melayu kerana yang miskin kerana menjual tanah.

“Setakat ini, kita tidak didatangi oleh mana-mana pemimpin parti lain. Pejuang hendak bertanding dalam PRU-15 bukan hendak jadi Perdana Menteri. Kalau dah menang pilihan raya baru boleh cakap hendak jadi Perdana Menteri, kalau dah kalah nak cakap apa?,” tegasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN